Universiti Malaya (UM) menafikan kewujudan sebuah artikel yang kononnya ditulis oleh seorang pakar geologi dari universiti tersebut, yang mendakwa terdapat sebuah gua kosong yang besar terletak di bawah tanah Kuala Lumpur.
Menurut Ketua Jabatan Geologi, Fakulti Sains UM, Prof Madya Dr Meor Hakif Amir Hassan, artikel berkenaan didakwa ditulis oleh seorang ahli geologi terkemuka dari UM bernama Dr Sarah Jamal.
Namun, Dr Meor menegaskan bahawa individu bernama Sarah Jamal tidak pernah berkhidmat di Universiti Malaya.
“Jabatan menegaskan bahawa tiada ahli geologi bernama Sarah Jamal yang berkhidmat di Universiti Malaya.
Juga, tiada ahli geologi bernama Sarah Jamal didaftarkan dalam senarai Lembaga Ahli Geologi Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di Facebook rasmi jabatan semalam.
Beliau turut menegaskan bahawa kandungan artikel tersebut adalah tidak berasas dan palsu.
Selain itu, staf Jabatan Geologi UM juga mengambil pendekatan berhati-hati dalam mengulas insiden tanah jerlus yang berlaku di Jalan Masjid India kerana kerja-kerja operasi mencari dan menyelamat (SAR) serta penyiasatan oleh pihak berkuasa masih berlangsung.
“Punca kejadian itu juga masih belum dapat dipastikan,” tambahnya.
Dalam kejadian pada pagi Jumaat lalu, seorang wanita warga India berusia 48 tahun dilaporkan hilang dalam insiden tanah jerlus di Jalan Masjid India. – JURNAL