Pihak berkuasa kehakiman Perancis pada Ahad melanjutkan tempoh penahanan pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Telegram, Pavel Durov, selepas beliau ditahan di Lapangan Terbang Le Bourget, Paris.
Jutawan Franco-Rusia itu ditahan pada Sabtu lalu atas dakwaan berkaitan penggunaan aplikasi pemesejan popular dan kontroversi, Telegram.
Menurut sumber yang rapat dengan siasatan, penahanan Durov, 39, dilanjutkan sehingga malam Ahad oleh majistret penyiasat yang mengendalikan kes tersebut.
Tempoh penahanan awal untuk disoal siasat boleh bertahan sehingga maksimum 96 jam.
Setelah tamat tempoh ini, hakim akan membuat keputusan sama ada untuk membebaskan Durov, mendakwanya, atau melanjutkan tempoh reman.
Durov ditahan sejurus tiba di Paris dari Baku, Azerbaijan.
Beliau dilaporkan merancang untuk makan malam di ibu negara Perancis itu bersama pengawal dan pembantu peribadinya yang sentiasa menemani beliau.
Penahanan Durov dilaporkan berkaitan dengan siasatan awal oleh OFMIN Perancis, sebuah agensi yang ditugaskan untuk mencegah keganasan terhadap kanak-kanak bawah umur.
Sumber lain menyatakan bahawa siasatan ini melibatkan dakwaan kesalahan seperti penipuan, pengedaran dadah, buli siber, jenayah terancang, dan promosi keganasan.
Durov didakwa gagal mengambil tindakan untuk membendung penggunaan jenayah di platform Telegram.
Dalam reaksi balasnya, Telegram menegaskan bahawa Durov tidak mempunyai apa-apa untuk disembunyikan dan kerap mengembara di Eropah.
“Telegram mematuhi undang-undang Kesatuan Eropah (EU) termasuk Akta Perkhidmatan Digital,” katanya.
“Adalah tidak masuk akal untuk mendakwa bahawa platform atau pemiliknya bertanggungjawab atas penyalahgunaan platform tersebut,” tambahnya lagi. – JURNAL
Sumber: Harian Metro