Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, hari ini dijadual menghadiri Rundingan Pemimpin Tahunan ke-25 antara Malaysia dan Brunei.
Beliau akan menghadap Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah, pada sesi pagi di Istana Nurul Iman.
Dalam pertemuan ini, kedua-dua pemimpin dijangka menyaksikan pemeteraian beberapa instrumen dua hala penting, termasuk perjanjian melibatkan sempadan darat antara kedua-dua negara.
Anwar tiba di Brunei malam tadi dan akan pulang ke Kuala Lumpur pada petang ini, mengakhiri lawatan kerja dua harinya.
Kuasa Usaha Sementara Suruhanjaya Tinggi Malaysia ke Brunei, Nur Ezira Mahadi, sebelum ini menyatakan bahawa kedua-dua pemimpin akan membincangkan isu serantau dan antarabangsa yang menjadi kepentingan bersama, serta menilai kemajuan kerjasama dua hala dan isu tertunggak antara Malaysia dan Brunei.
Nur Ezira turut menegaskan bahawa rundingan ini akan terus memperkukuh hubungan istimewa dan kerjasama pelbagai hala antara kedua-dua negara, yang diasaskan kepada institusi Kesultanan Melayu dan persamaan budaya, bahasa, serta warisan yang dikongsi bersama. – JURNAL