Bintang bola sepak terkenal Portugal, Cristiano Ronaldo, telah melancarkan saluran YouTubenya baru-baru ini, dan dengan segera telah menarik perhatian ratusan ribu pelanggan.
Dalam beberapa jam selepas video pertamanya dimuat naik, salurannya berjaya mengumpulkan 1.69 juta pelanggan, menjadikannya saluran YouTube terpantas mencapai 1 juta pelanggan dalam masa hanya 90 minit.
Ronaldo dengan gembira mengumumkan pelancaran tersebut di media sosialnya.
“Penantian saya telah berakhir. Saluran @Youtube saya akhirnya di sini! SIUUU langgan dan sertai saya dalam perjalanan baharu ini,” tulisnya.
Dengan jumlah pengikut yang besar di media sosial, termasuk 112.6 juta di platform X, 170 juta di Facebook, dan 636 juta di Instagram, Ronaldo terus membuktikan pengaruhnya di dunia digital.
Pada usia 39 tahun, pemenang lima kali Ballon d’Or ini masih aktif dalam karier bola sepaknya bersama kelab Saudi Pro League, Al Nassr.
Ketika ini, Ronaldo sedang bersiap sedia untuk perlawanan pembukaan Liga Pro Saudi menentang Al-Raed di Stadium Al-Awwal, yang dijadualkan awal pagi Jumaat nanti. – JURNAL