Perdana Menteri Thailand yang baharu, Paetongtarn Shinawatra, menyatakan komitmennya untuk menjalin kerjasama erat dengan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dalam usaha memperkukuh hubungan dua hala antara Malaysia dan Thailand.
Dalam satu hantaran di platform media sosial X, Paetongtarn mengucapkan terima kasih kepada Datuk Seri Anwar atas ucapan tahniah yang disampaikan dan menegaskan bahawa hubungan persahabatan yang sekian lama terjalin antara kedua-dua negara adalah amat penting.
“Hubungan kita telah berkembang dengan momentum yang sangat positif, hasil daripada kerjasama erat antara Tuan Yang Terutama dan pendahulu saya, Perdana Menteri @Thavisin (Srettha Thavisin). Saya berharap dapat bekerjasama rapat dengan anda untuk terus memajukan persahabatan Thailand-Malaysia dan kerjasama yang saling menguntungkan bagi rakyat kedua-dua negara kita,” tulis Paetongtarn di akaun X pada Isnin.
Paetongtarn, 37 tahun, dilantik sebagai Perdana Menteri Thailand pada 18 Ogos selepas mendapat perkenan Raja Maha Vajiralongkorn, menggantikan Srettha Thavisin.
Pelantikan beliau disahkan oleh Parlimen Thailand pada Jumaat yang lalu. – JURNAL
Sumber: X