Rakyat Malaysia diseru untuk lebih bertanggungjawab dalam mengibarkan Jalur Gemilang, sama ada pada kenderaan, pakaian, atau reka cipta lain, demi menjaga maruah serta mengelakkan penghinaan terhadap lambang kedaulatan negara.
Pengerusi Yayasan Keprihatinan Komuniti Malaysia (MCCF), Datuk Seri Halim Ishak menekankan bahawa Jalur Gemilang perlu dihormati oleh setiap lapisan masyarakat sebagai tanda penghargaan kepada pahlawan dan pejuang kemerdekaan negara.
“Malaysia berisiko menjadi seperti negara-negara liberal lain yang kehilangan nilai moral dalam mencintai tanah air mereka sendiri. Saya melihat ini sebagai akibat daripada kelemahan dalam pendidikan sejarah dan kesusasteraan di kalangan rakyat Malaysia,” katanya.
Halim turut menggesa kerajaan Malaysia untuk lebih serius dalam menerapkan nilai sejarah dan budaya ilmu dalam jiwa generasi muda sejak dari peringkat pra sekolah.
Beliau melahirkan rasa kecewa apabila melihat Jalur Gemilang yang dipasang pada kenderaan tercabut dan jatuh di tengah jalan, kemudian dipijak oleh kenderaan lain, mencerminkan kurangnya kesedaran terhadap kepentingan lambang negara ini.
Tambahnya lagi, pemimpin di semua peringkat kerajaan, parti politik, dan ketua masyarakat perlu menjadi teladan dalam memartabatkan Jalur Gemilang.
Beliau juga menyuarakan kebimbangan terhadap kelemahan penguatkuasaan Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) 1963, yang sepatutnya melindungi kedaulatan Bendera Malaysia.
“Sekiranya pemimpin sendiri tidak tahu menghargai kemerdekaan dan perjuangan, maka jangan salahkan rakyat. Sebab sistem dan dasar pemerintahan diolah serta dirangka pemimpin kerajaan,” ujarnya lagi. – JURNAL
Sumber: Sinar Harian