Seorang peniaga mata wang asing (forex), Mohd Fadzly Ariffadzilah, 36, dihadapkan ke Mahkamah Majistret hari ini atas tuduhan membunuh guru, Istiqomah Ahmad Rozi, 33, pada Disember tahun lalu.
Dalam prosiding di hadapan Majistret Dr Teoh Shu Yee, tertuduh mengaku faham pertuduhan yang dibacakan, namun tiada pengakuan direkodkan kerana kes ini di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, tertuduh didakwa membunuh mangsa di tepi jalan Kampung Tanjung Rimau Luar, Pulau Sebang, antara 26 Disember hingga 31 Disember 2023.
Jika disabitkan kesalahan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, tertuduh boleh dihukum gantung di sampai mati atau jika tidak dihukum mati, hendaklah dipenjara minimum 30 tahun dan maksimum 40 tahun dan tidak kurang 12 sebatan.
Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Nazrin Ali Rahim, memohon tarikh sebutan baharu pada 22 Oktober untuk mendapatkan laporan DNA dan bedah siasat, serta membantah sebarang jaminan diberikan kepada tertuduh.
Sebelum ini, suspek ditahan pada 5 Ogos di Chemor, Perak, selepas polis menemui mayat wanita tanpa kepala di Kampung Tanjung Rimau.
Hasil ujian DNA mengesahkan identiti mayat sebagai Istiqomah, membawa kepada penangkapan suspek, yang dikenali sebagai kenalan mangsa semasa di maktab perguruan.
Ahli keluarga mangsa, yang datang dari Kota Masai, Johor, turut hadir di mahkamah untuk mengikuti prosiding.
Mereka tiba dua hari lebih awal dan bermalam di rumah Allahyarham sebelum menghadiri pendakwaan. – JURNAL
Sumber: Berita Harian