Skim Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) yang bakal berkuat kuasa 1 Disember ini bukan sekadar penambahbaikan pendapatan penjawat awam, tetapi sistem berteraskan prestasi dan tatakelakuan, jelas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Anwar menegaskan bahawa penjawat awam yang cemerlang akan diberi ganjaran, manakala mereka yang gagal mempamerkan prestasi baik akan dikenakan tindakan.
“Seperti yang selalu saya tegaskan, kita tidak boleh memberikan layanan sama rata kepada semua, terutama dalam aspek ganjaran dan pengiktirafan. Penjawat awam yang tidak menunjukkan prestasi baik, culas, atau kerap tidak hadir tanpa kelulusan ketua jabatan tidak akan diberikan ganjaran,” kata Anwar.
Anwar turut mengumumkan pelarasan gaji penjawat awam sebanyak 15 peratus kepada kumpulan pelaksana, manakala tujuh peratus kepada pengurusan tertinggi.
Menurut Anwar, pelarasan itu akan dilaksanakan secara bertahap dengan fasa pertama bermula 1 Disember ini.
Beliau menyampaikan amanat ini ketika berucap pada Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam (MAPPA) Ke-19 hari ini. – JURNAL
Sumber: Berita Harian