Pemain Selangor FC, Faisal Halim, layak digelar pejuang sejati setelah berjaya bangkit walaupun mengalami trauma selepas disimbah asid pada Mei lalu.
Menurut jurulatih berpengalaman, Irfan Bakti Abu Salim, bukan mudah untuk menghadapi situasi seperti yang dialami Faisal, lebih dikenali sebagai Mickey. Namun, pemain berusia 26 tahun itu menunjukkan semangat luar biasa untuk kembali bermain.
“Saya melihat semangat luar biasa dimiliki Faisal dan dia merupakan contoh terbaik kecekalan kepada pemain lain. Dia berusaha untuk kembali bangkit walaupun apa yang dia lalui sukar digambarkan,” kata Irfan.
Kembalinya Faisal ke padang hanya selepas tiga bulan pulih daripada kelecuran teruk dianggap sebagai contoh kepada pemain lain.
Doktor sebelum ini menjangkakan dia perlu berehat sekurang-kurangnya enam bulan, tetapi Faisal mengejutkan ramai apabila sudah mampu beraksi.
“Apabila kita tengok dia dapat kembali bermain, nampak dia sangat puas dan dapat melepaskan rasa geram untuk beraksi. Malah, dari raut wajahnya, seolah-olah tidak nampak langsung dia masih terkesan dengan kejadian itu,” tambah Irfan.
Faisal yang mengalami kelecuran tahap empat akibat simbahan asid, telah kembali beraksi sebagai pemain gantian dalam dua perlawanan Liga Super menentang Kelantan Darul Naim FC dan Sabah FC.
“Faisal ini antara pemain terbaik dalam industri bola sepak kita. Saya yakin dia akan berusaha untuk berada pada tahap seperti sebelum ini, tetapi ia sangat berkait dengan masa.
“Dengan sokongan kuat daripada pasukannya dan orang sekeliling sudah tentu dia akan mampu kembali menggegar bola sepak negara. Peluang untuknya beraksi seperti diberikan Selangor sekitar 10 minit dalam setiap perlawanan juga banyak membantu,” katanya.
Irfan yakin, dengan sokongan pasukan dan masa yang mencukupi, Faisal akan kembali ke prestasi terbaiknya. – JURNAL
Sumber: Sinar Harian