Pengurusan Zoo Johor menafikan dakwaan yang tular di media sosial mengenai tarikh pembukaan semula taman haiwan itu pada 29 Ogos ini.
Dalam kenyataan yang dimuat naik di Facebook Bahagian Kerajaan Tempatan, Pejabat Setiausaha Kerajaan Johor, pihak Zoo Johor juga menolak harga tiket yang disebarkan.
“Pihak Zoo Johor ingin memaklumkan bahawa harga tiket dan tarikh pembukaan yang disebarkan semalam oleh pemilik akaun Instagram bernama Norhafzanora dan diulang-siar di mana-mana akaun media sosial lain adalah tidak sahih,” jelas kenyataan itu.
Menurutnya, segala perbincangan mengenai pembukaan semula dan harga tiket masih di peringkat perbincangan oleh pihak Zoo Johor dan Kerajaan Negeri Johor.
“Kami memohon mana-mana pihak tidak menyebarkan maklumat tidak sahih berkenaan. Segala pengumuman berkenaan harga tiket dan tarikh pembukaan akan diumumkan oleh kerajaan negeri,” tambah kenyataan itu.
Semalam, tular di media sosial bahawa Zoo Johor akan dibuka semula pada 29 Ogos dengan harga tiket RM10 untuk dewasa, RM5 untuk kanak-kanak, dan RM30 untuk bukan warganegara.
Khabar angin ini mengundang keterujaan orang ramai yang ingin melawat Zoo Johor, yang telah ditutup sejak pertengahan Ogos tahun lalu untuk proses baik pulih dan menaik taraf. – JURNAL