Mohd Yusoff Mokhtar, suami kepada Cikgu Istiqomah Ahmad Rozi, mengakui hatinya sebak mengenang tiga anaknya yang merindui ibu mereka.
Anak sulungnya, Naura Auni, 9, sering kali ‘mencuri-curi’ melihat gambar arwah ibu mereka, namun segera menyembunyikannya apabila menyedari bapanya melihat.
“Saat ini, yang paling penting adalah menjaga emosi anak-anak saya, Naura Auni, Naufal Amzar, 6, dan Nayla Aisya, 4, yang sedih menonton berita kematian ibu mereka di televisyen,” kata Mohd Yusoff dengan nada sayu ketika dihubungi pemberita pada Selasa.
Sebagai seorang bapa, walaupun berat untuk menerima kenyataan, Mohd Yusoff telah menjelaskan situasi sebenar kepada anak-anaknya. “Anak sulung terutamanya suka curi-curi tengok gambar arwah kerana dia rindu. Tapi bila perasan saya melihat tindakannya itu, dia akan sembunyikan gambar kerana tidak mahu saya bersedih,” katanya lagi.
Tambah Mohd Yusoff, ketiga-tiga anaknya kadang-kala termenung dan berdiam diri, mungkin terlalu merindui arwah ibu mereka.
“Kalau menangis mereka akan panggil mama, namun saya perlu sembunyikan keperitan hati ini untuk memberi kekuatan kepada anak-anak,” jelasnya.
Mohd Yusoff juga merayu agar orang ramai tidak mengaitkan lelaki lain sebagai bekas kekasih isterinya, menegaskan bahawa mereka hanya berkawan semasa di maktab perguruan.
“Janganlah ditambah kesedihan saya, tapi doakanlah saya dan tiga anak-anak yang masih kecil terus kuat mendepani pembunuhan kejam ini,” ujarnya.
Beliau juga berharap agar jenazah arwah isterinya dapat segera dituntut untuk dikebumikan di Pasir Mas, Kelantan, setelah lapan bulan kematiannya tidak bernisan.
Pada Isnin lalu, media melaporkan kehilangan seorang guru wanita sejak lapan bulan lalu akhirnya terjawab selepas polis mengesahkan mayat tidak lengkap yang ditemui pada 31 Disember lalu adalah milik Istiqomah Ahmad Rozi.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintenden Ashari Abu Samah, mengesahkan perkara itu berdasarkan ujian DNA yang dilakukan.
Menurutnya, risikan yang dijalankan pasukan polis Bahagian Siasatan Khas (D9) Jabatan Siasatan Jenayah Melaka dengan kerjasama Jabatan Siasatan Jenayah Johor serta Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Alor Gajah telah berjaya menahan sepasang suami isteri masing-masing berusia 36 dan 37 tahun. – JURNAL
Sumber: Sinar Harian