Awal pagi tadi, langit di pantai Trombol, Telaga Air, kira-kira 30 kilometer dari bandaraya Kuching, dipenuhi tompokan awan ketika para peminat astronomi cuba merakam fenomena Hujan Meteor Perseids.
Fenomena tahunan ini berlaku dari 17 Julai hingga 24 Ogos dan boleh disaksikan dengan mata kasar di kawasan yang gelap dan bebas dari pencemaran cahaya.
Hujan Meteor Perseids terjadi apabila bumi melintasi laluan orbit Komet Swift-Tuttle, yang mempunyai nukleus berdiameter sekitar 26 kilometer dan memerlukan 133 tahun untuk melengkapkan satu orbit.
Ketika komet ini menghampiri matahari, debu-debu yang terbebas akibat proses pemejalwapan akan berserakan, membentuk laluan yang dipenuhi sisa-sisa komet.
Apabila sisa-sisa ini memasuki atmosfera bumi, ia terbakar dan menghasilkan jalur bersinar yang panjang, mencipta pemandangan memukau di langit malam.
Komet Swift-Tuttle kali terakhir mendekati bumi pada tahun 1992 dan dijangka akan kembali menghampiri bumi pada tahun 2126. – JURNAL
Sumber: Sinar Harian