Naib Presiden PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad, secara rasmi menawarkan diri untuk dicalonkan sebagai Presiden Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA).
Nik Nazmi, yang juga Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, menegaskan bahawa keputusannya bukan untuk meraih populariti, tetapi untuk mengembalikan maruah pasukan Kuala Lumpur (KL) City FC.
“Saya menawarkan diri untuk dicalonkan pada kongres tahun ini,” ujar Nik Nazmi.
Beliau turut mendedahkan bahawa telah mengadakan perbincangan dengan tokoh korporat, profesional, serta institusi kerajaan untuk bersama-sama memimpin KLFA.
Peletakan jawatan Khalid Samad sebagai Presiden KLFA pada 15 Mac lalu, membuka peluang kepada Nik Nazmi untuk melangkah ke hadapan.
Khalid, yang juga bekas Menteri Wilayah Persekutuan, memegang jawatan tersebut sejak 2019.
Nik Nazmi menyatakan bahawa beliau turut merasai kesan daripada kemelut yang melanda pasukan KL City FC kebelakangan ini.
Menurutnya, tindakan tegas perlu diambil bagi memastikan pasukan yang telah berjuang dengan gigih dalam Liga Malaysia mendapat keadilan yang sewajarnya.
“Bola sepak Kuala Lumpur berhak mendapat sesuatu yang lebih baik. Ini bukan medan populariti, tetapi amanah besar untuk memulihkan kepercayaan peminat kepada bola sepak ibu kota,” tegasnya dalam satu video di laman Instagram.
Jawatan Presiden KLFA ketika ini dipangku Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid selepas Khalid Samad meletak jawatan pada Mac lalu. – JURNAL
Link Sumber: Instagram Nik Nazmi Nik Ahmad