PETRONAS Carigali Nile Limited (PCNL), anak syarikat PETRONAS, mengumumkan penarikan diri dari operasi di Republik Sudan Selatan.
Keputusan ini dibuat setelah tempoh dua tahun inisiatif pelupusan, selari dengan strategi pelaburan jangka panjang PETRONAS dalam menghadapi perubahan industri dan peralihan tenaga yang dipercepatkan.
PCNL akan bekerjasama dengan semua pihak berkepentingan untuk memastikan peralihan yang lancar sambil mengambil kira hak pekerja mengikut undang-undang yang terpakai, perjanjian petroleum, serta dasar dan prosedur PETRONAS.
Keputusan untuk keluar dari Sudan Selatan ini secara rasmi menandakan berakhirnya usaha PETRONAS selama lebih dua dekad di negara Afrika Timur yang sering dilanda krisis.
Sejak pemisahan Sudan Selatan dari Republik Sudan pada 2011, selepas beberapa dekad konflik bersenjata yang mengorbankan lebih dua juta orang, PETRONAS telah bergelut dengan cabaran-cabaran besar.
Perang saudara yang berterusan di Sudan Selatan antara dua puak bersenjata telah menyebabkan lebih 14,000 orang terkorban, menurut anggaran Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Pada 2011, PETRONAS mengumumkan bahawa ia tidak berhasrat untuk mengambil bahagian dalam pusingan pelesenan minyak pertama Sudan Selatan, memetik keadaan pasaran yang mencabar dan kajian semula strategik aset untuk memastikan portfolio syarikat kekal berdaya tahan dan berdaya maju secara komersial.
Pada Disember 2022, PETRONAS mengumumkan penjualan keseluruhan portfolionya di Sudan Selatan kepada Savannah Energy PLC, sebuah syarikat dari Britain. Aset berkenaan terdiri daripada kepentingan dalam 64 bidang pengeluaran, dengan pengeluaran pertama sejak 1999.
Jika perjanjian ini berjaya, Savannah akan memiliki pegangan PETRONAS dalam tiga syarikat operasi bersama yang mengendalikan Blok 3 dan 7 dengan 40% kepentingan kerja, Blok 1, 2 dan 4 dengan 30% ekuiti, dan 33.9% dalam Blok 5A di Sudan Selatan. – JURNAL
Sumber: Berita Harian