Polis telah membuka kertas siasatan berhubung kenyataan sensitif yang dikeluarkan oleh seorang ahli politik dalam ceramahnya di Unit Daerah Mengundi (UDM) Bertam Baru, sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun, berkata kenyataan itu dibuat oleh ahli politik berkenaan pada 3 Ogos lalu.
Susulan itu, seorang lelaki yang juga Ahli Jawatankuasa UMNO Gua Musang berusia 29 tahun telah membuat laporan polis.
“Kita membuka kertas siasatan untuk kes itu mengikut tiga seksyen iaitu Seksyen 4A (1) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954, Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. Siasatan lanjut sedang dijalankan susulan kenyataan itu yang turut tular di media sosial,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Balai Polis Kok Lanas, hari ini.
Sebelum ini, tular di media sosial satu kenyataan ahli politik tersebut berhubung isu sebahagian besar permohonan pemilikan tanah yang telah diluluskan oleh kerajaan negeri tetapi tidak diselesaikan oleh Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (KESEDAR).
Dalam perkembangan sama, Muhamad Zaki berkata, setakat ini kempen PRK DUN Nenggiri berjalan dengan aman dan tiada kes provokasi yang berlaku. – JURNAL
Sumber: Berita Harian