Kementerian Pertahanan hari ini mendedahkan bahawa teknologi pengkomputeran kuantum bakal membawa cabaran baharu kepada sistem keselamatan digital negara, berpotensi menyahsulit data sensitif termasuk ketenteraan dengan mudah.
Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari, menjelaskan teknologi masa hadapan ini memiliki kemampuan yang jauh lebih tinggi berbanding teknologi sedia ada.
Kebimbangan utama kerajaan adalah terhadap pangkalan data sulit yang mungkin terjejas apabila teknologi pengkomputeran kuantum tersedia.
Dengan kemajuan komputer kuantum, algoritma penyulitan yang menjadi kunci kepada sistem keselamatan digital kita boleh dipecahkan.
Adly menyatakan kepentingan tindakan segera dalam menghadapi risiko teknologi pengkomputeran kuantum semasa merasmikan Siber Siaga 2024 di Persidangan Perkhidmatan Pertahanan Digital Siber dan Keselamatan Asia (CyberDSA) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.
Pengkomputeran kuantum dijangka menggantikan sistem komputer sedia ada dengan kecerdasan yang lebih pantas dan kemampuan menyelesaikan masalah kompleks dengan lebih cekap menggunakan bit kuantum (qubit).
Walaupun menawarkan banyak potensi dalam komunikasi dan pengawasan, teknologi ini mampu menggugat keselamatan global.
Adly menegaskan kepentingan kerajaan mengiktiraf peranan sektor swasta dalam mengembangkan teknologi kuantum sejajar dengan pembangunan negara, memastikan keselamatan dan kemajuan teknologi bergerak seiring. – JURNAL
Sumber: Harian Metro