Pada hari ini dalam tahun 1962, Persidangan Pertama Pandu Puteri bagi seluruh Persekutuan Tanah Melayu telah berlangsung di Petaling Jaya.
Persidangan ini telah dirasmikan oleh Toh Puan Norashikin Mohd Seth selaku Presiden Persatuan Pandu Puteri.
Dalam ucapannya, Toh Puan Norashikin menyeru agar kaum wanita bergerak lebih cergas dan saling membantu antara satu sama lain.
Kaum wanita juga digesa supaya tidak merasa takut untuk memberi sumbangan tenaga demi kepentingan dan kemajuan negara.
Hampir 30 orang Ketua Persatuan Pandu Puteri seluruh Tanah Melayu telah menghadiri persidangan ini.
Persidangan ini merupakan persediaan ke arah mengadakan persidangan bagi ‘Pemimpin-pemimpin Kebangsaan Kawasan Asia, Persatuan Pandu Puteri Sedunia’ yang akan berlangsung di Kuala Lumpur pada bulan Disember 1962.
Persidangan ini menjadi lambang terhadap peranan dan sumbangan kaum wanita kepada negara dan bangsa. – JURNAL
Sumber: Arkib Negara Malaysia