Nasib graduan tercicir akibat tidak mendapat pekerjaan antara isu yang membelenggu permikiran masyarakat.
Bagaimanapun, usaha Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) membantu graduan menerusi program latihan yang disediakan dikenali sebagai Protege berjaya membawa masa depan yang lebih cerah untuk graduan.
Ketua Sekretariat Protege, Zanawiah Hassan berkata, Protege bermula pada tahun 2018 apabila KUSKOP diwujudkan semula yang memainkan dua peranan utama iaitu membantu graduan dalam membina nilai diri dengan mempertingkatkan potensi diri menerusi program latihan yang disediakan.
“Program Protege Ready to Work, kami tempatkan graduan itu dalam industri selama 12 bulan dan elaun dibayar oleh syarikat.
“Kedua, Protege berperanan dalam meningkatkan keusahawanan iaitu kita ingin membantu graduan sekiranya mereka tidak mendapat peluang pekerjaan, mereka boleh jadi bos,” katanya.
Jelasnya, Protege KUSKOP berperanan memberi latihan, kesedaran dan membantu graduan membina perniagaan.
“Matlamat utama mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan dengan lebih ramai usahawan baharu. Bila ada bisnes sendiri, kita mampu untuk mewujudkan peluang pekerjaan,” katanya.
Tambahnya, banyak program lain kebolehpasaran yang diadakan termasuk program penempatan graduan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) bersama syarikat yang lebih teknikal seperti membaiki penghawa dingin, automotif, fesyen dan industri kreatif.
“Kita menbantu golongan TVET dalam B40 untuk memberikan mereka sijil profesional yang dapat meningkatkan nilai dan kapasiti mereka.
“Program Protege semua melibatkan berstruktur di mana ada latihan 3 hingga 5 hari, kita ada bimbingan dan pemantauan serta geran untuk graduan kita memulakan perniagaan,” katanya.
Ujarnya, kumpulan sasar Protege adalah graduan, mahasiswa termasuk graduan TVET.
“Membina nilai perniagaan sangat penting kerana kita kena meletakkan sesuatu nilai pada perniagaan kita sama ada produk atau perkhidmatan.
“Nilai itu tidak semestinya barang tapi nilai pada masyarakat di mana nilai itu penting utuk sesuatu perniagaan itu kekal,” katanya.
Bagi usahawan dan orang ramai yang ingin mengetahui lebih lanjut aspek Membina Nilai Perniagaan, jangan lupa saksikan temu bual bersama Zanawiah menerusi program bual bicara, Sembang Protege x KRU dalam Episod 11 di platform laman sosial PROTEGE di YouTube, Facebook dan Instagram.- JURNAL