Pengarah Urusan Mydin Mohamed Holding Berhad, Datuk Wira Dr Haji Ameer Ali Mydin mengakui jenama perniagaan sangat penting dan bersyukur pada pelanggan Mydin mengiktiraf jenama Mydin sendiri.
“Mereka (pelanggan) perlu kenal jenama itu dan mereka akan milih jenama tersebut untuk bermacam sebab. Bagaimana mereka mengenali sesuatu jenama tersebut lebih penting daripada apa yang anda buat,” katanya.
Menurutnya, dalam perniagaan mementingkan bagaimana jenama itu diperkenalkan manakala beliau sendiri sebagai jenama berpendirian ketika berada di hadapan perlu berhati-hati iaitu tidak sombong dan mesra dengan pelanggan.
“Jumpa orang nak ‘selfie’ pun boleh, tengah makan orang nak ‘selfie’ pun boleh. Kita perlu lebih menghargai pelanggan. Kita bersyukur pada pelanggan yang mengenali kita dan bersyukur pada Tuhan yang memberikan peluang untuk kita untuk berikan semula pada pelanggan,” katanya.
Bercerita pengalaman mewarisi perniagaan keluarga, beliau menjelaskan pada mulanya beliau bekerja di bank turut berkongsi tips bagaimana memulakan perniagaan.
“Buat semua yang berniaga sama ada nak buka kedai atau online atau apa berniaga nak buat, minta maaf saya tidak setuju. Untuk saya, pergi kerja dulu seperti jadi jurukamera, jangan jadi pengarah dulu.
“Walaupun terfikir saya sudah belajar universiti, apa yang awak belajar. Kadang pegawai bila disuruh fotostat pun tanya macamana nak guna mesin fotostat. Kalau kita nak buat sesuatu, sepatutnya kerja 10 tahun dulu,” katanya.
Ujarnya, jenama ialah pengiktirafan tanpa memberitahu orang apa dia sebenarnya.
“Pemilihan logo dan warna yang nak dipakai sangat penting. Sebagai contoh jika nak pakai restoran kemudian nak jadi hotel, boleh jadi warna pada jenama itu boleh íkut sekali,” katanya.
Akuinya, pemilihan sesuatu jenama sangat penting tetapi tidak terlalu panjang.
“Apa yang lebih penting ialah menguruskan jenama dan jangan cuba merosakkan jenama tersebut. Saya fikir menguruskan jenama begitu genting.
“Macam Mydin bila buat TikTok dan Instagram, kadang-kadang nak viralkan sesuatu tetapi jangan ambil sesuatu yang sensitif, jadi neutral meskipun dalam hati ada rasa marah. Dari aspek bisnes perlu lebih berhati-hati,” katanya.
Bagi usahawan dan orang ramai yang ingin mengetahui lebih lanjut aspek penjenamaan, jangan lupa saksikan temu bual bersama Datuk Wira Dr Haji Ameer Ali Mydin menerusi program bual bicara, Sembang Protege x KRU dalam Episod 10 membawa tajuk ‘Viralkan Jenama’ di platform laman sosial PROTEGE di YouTube, Facebook dan Instagram.- JURNAL