Pernah meraih populariti sebagai juara sebuah program realiti TV, Mila Jirin mengubah perjalanan hidup apabila memilih bidang perniagaan sebagai kerjaya.
Dalam tempoh 15 tahun terbabit dalam bidang perniagaan, Mila kini mampu berbangga dengan pencapaian bisnes sendiri iaitu Biz Milla Catering (M) Sdn Bhd yang sudah 10 tahun berada dalam pasaran.
“Saya berjinak dalam perniagaan sejak 15 tahun meskipun datang sebagai anak seni. Biasalah dalam industri seni ada pasang surut dan saya menceburi bidang perniagaan sehingga kini mempunyai pasukan seramai 250 orang di 7 cawangan dan 18 bankuet hall,” katanya.
Menurut Mila atau nama sebenar, Syarmilla Jirin, dia menceburi bidang makanan dan minuman (F&B) apabila membuka restoran, 15 tahun lalu.
“Ketika itu saya membuka restoran Thai Seafood. Selepas itu bila banyak permintaan orang tempah makan, datang idea daripada suami untuk buat katering.
“Selepas itu banyak pula orang tempah untuk majlis perkahwinan, jadi kami membangunkan jenama Biz Milla dan membuka bankuet hall pertama di Subang Jaya,” katanya.
Mila mengakui, kerjaya dalam bidang seni suatu yang sukar dibandingkan perniagaan.
“Dalam kesempitan apabila pendapatan dalam bidang seni menurun dan saya anak sulung dalam keluarga menjaga mak ayah dan adik 2 orang.
“Pada usia seawal 19 tahun saya sudah menggalas tanggungjawab sebagai ketua keluarga, itu menyebabkan saya terpaksa mencari alternatif apa yang perlu saya buat untuk pastikan keluarga saya tidak menghadapi kesukaran dan saya mula berniaga daripada buat kek dan masak di rumah kemudian hantar kepada produksi,” katanya.
Baginya, memilih bisnes makanan adalah lebih dekat kerana ia adalah keperluan dan lebih mudah untuk dibuat berbanding kosmetik.
“Saya memilih industri yang sangat senang untuk bermula. Bila Allah bagi ujian sebenarnya Allah nak bagi jalan memperkembangkan perniagaan,” katanya.
Mila, 35, berkongsi tiga tips kejayaan dalam bisnes iaitu pertama, menyediakan perniagaan yang membantu menyelesaikan masalah pelanggan.
“Kedua, kualiti yang perlu diberi keutamaan dan ketiga, keikhlasan dalam menyediakan segala jenis perkhidmatan termasuk membabitkan dalam pasukan. Kita nak pelanggan datang semula.
“Sebagai contoh kalau anak dia berkahwin dekat Biz Milla, kalau ada 6 orang anak semua kahwin di Biz Milla,” katanya.
Bagi mereka yang ingin mengetahui lebih lanjut mengenai bisnes yang dijalankan Mila, jangan lupa saksikan temu bual bersamanya dalam program bual bicara terbaharu, Sembang Protege x KRU dalam Episod 8 – ‘Membina Dream Team’ menerusi platform laman sosial PROTEGE di YouTube, Facebook dan Instagram.- JURNAL