Ramai peminat bola sepak merungut gara-gara tempat duduk Stadium Nasional Bukit Jalil dikurangkan untuk aksi Piala AFF Sabtu ini disebabkan persediaan konsert Jay Chou.
Lebih ekstrim lagi apabila ada netizen Malaysia bertindak menyerang akaun media sosial penyanyi terkenal Taiwan itu.
Mengambil maklum tentang perkara tersebut, Menteri Belia Dan Sukan, Hannah Yeoh tampil memberi penjelasan mengenai struktur pentas konsert Jay Chou yang dalam proses pemasangan di lokasi perlawanan separuh akhir Malaysia menentang Thailand itu.
Hannah menerusi akaun Twitter rasminya memaklumkan pihak penganjur konsert sudah menempah stadium untuk konsert Jau Chou World Tour sejak tiga tahun lalu, iaitu pada 13 Mac 2019.
Manakala, tempahan stadium untuk Piala AFF dibuat Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) FAM pada 18 Ogos tahun lepas.
Tambah Hannah, persiapan untuk konsert tersebut memerlukan masa sehingga 14 hari melibatkan pemasangan pentas, ratusan krew serta penggunaan jentera berat.
Dan pihak penganjur juga sudah menghentikan tugas pemasangan pentas buat sementara waktu untuk memberi laluan kepada perlawanan separuh akhir Sabtu ini.
“Untuk makluman, tempahan stadium bagi konsert Jay Chou World Tour dibuat 13 Mac 2019 manakala AFF 2022 oleh FAM dibuat 18 Ogos 2022.
“Konsert memerlukan 14 hari merangkumi tugas-tugas pemasangan pentas oleh 500 krew tempatan dan 185 krew antarabangsa serta melibatkan 45 jentera berat, 200 buah pembesar suara selain 800 buah lampu.
“Mereka sudah tangguhkan (kerja-kerja pemasangan) selama 2.5 hari (2 hari setengah) untuk memberi ruang kepada AFF,” ciapnya.
Tinjauan JURNAL di ruangan komen mendapati warga Twitter menjadikannya sebagai medan perdebatan.
Ada yang memahami konsep “siapa cepat dia dapat” dan tidak menyalahkan penganjur kerana pertembungan yang berlaku.
Namun ada juga yang berpendapat Hannah tidak wajar dipersalahkan kerana perjanjian dan urusan mengenai konsert ini dilakukan ketika di bawah tampuk pimpinan kerajaan terdahulu.
“Kepada fans bola sepak yang dikasihi, konsert ini telah ditunda selama tiga tahun disebabkan COVID-19 dan tarikh konsert sekarang telah ditetapkan sejak setahun lalu.
“Peminat dari malaysia dan luar negara telah menanti konsert ini bertahun-tahun. Masalah vacant seat 21,000 bukan salah Jay Chou, tetapi pihak pengurusan stadium yang mengendali event stadium. Tolong hentikan hate comment anda kepada penyanyi legendary ini. Terima kasih,” kata seorang warganet.
“Tempahan konsert Jay Chou kat Bukit Jalil ni dah merentasi tiga Menteri Belia & Sukan sebelum ni. Dari @SyedSaddiq ke @reezal_merican ke @PejaOfPerak. Nasiblah @hannahyeoh yang kena hadap benda ni walaupun baru sebulan jadi Menteri,” ciap seorang lagi.
Malaysia akan menentang juara bertahan, Thailand dalam aksi separuh akhir pertama Piala AFF pada Sabtu ini bermula jam 8.30 malam. – JURNAL