Tabiat rakyat Malaysia yang gemar menekan pautan di media sosial dan Internet mendorong kepada peningkatan jumlah kes penipuan.
Presiden Persatuan Pengguna Siber Malaysia Siraj Jalil berkata, pihaknya menerima ribuan aduan setiap tahun membabitkan kes penipuan menerusi pautan.
“Ramai masyarakat kita yang suka menggunakan media sosial serta Internet untuk mencari maklumat dan apabila tertarik dengan informasi itu, mereka tidak teragak-agak untuk terus menekan pautan.
“Ia secara tidak langsung mendedahkan kita dengan ‘hacking’ dan ‘phishing terutama di media sosial menerusi aplikasi pesanan ringkas seperti WhatsApp, Telegram serta Messenger,” katanya.
Siraj berkata, lazimnya sindiket penipuan akan memanfaatkan segala bentuk promosi termasuk pengumuman kerajaan membabitkan bantuan kepada orang ramai.
“Selalunya sindiket ini akan sentiasa aktif menghantar pautan berkaitan pelbagai promosi menarik kepada orang ramai secara rawak.
“Apabila ada pengumuman daripada kerajaan, mereka akan hantar pula pautan kononnya untuk mendaftar permohonan bantuan berkenaan.
“Bagi mereka yang tidak membuat semakan akan menjadi mangsa penipuan apabila menekan pautan dan memberikan maklumat peribadi seperti diarahkan,” katanya.
Beliau berkata, terdapat dua perkara umum yang masyarakat perlu cakna iaitu berkaitan makumat data sensitif milik pengguna serta ancaman perisian hasad.
“Dalam kebanyakan kes dilaporkan, sindiket akan menyamar sebagai institusi kewangan atau lain-lain agensi berkaitan sebelum meminta maklumat data sensitif milik pengguna terutama berkaitan perbankan.
“Bagi perisian hasad, ia digunakan oleh sindiket untuk memantau peranti atau menggodam sebaik menekan pautan yang memuat turun aplikasi seperti ‘spyware’,” katanya.
Melihat kepada perkembangan teknologi masa kini, beliau mencadangkan supaya ada silibus berkaitan kepenggunaan teknologi diperkenalkan di peringkat sekolah.
“Saya mencadangkan supaya kerajaan memperkenalkan silibus pembelajaran di peringkat sekolah supaya langkah pencegahan awal dapat diambil sekali gus mengurangkan jumlah kes jenayah siber yang kian meningkat,” katanya.
Hilang RM14,672 kerana ‘promosi’
Seorang penuntut wanita kerugian RM14,672 selepas menekan pautan promosi pakej telefon percuma serta wang tunai kononnya dimenangi pada Januari lalu.
Menurut mangsa yang berusia 21 tahun, dia menerima panggilan telefon yang mendakwa daripada sebuah syarikat telekomunikasi.
“Individu berkenaan menghubungi saya untuk menawarkan pakej telefon “Berminat dengan tawaran itu, saya menerima pautan yang dihantar melalui mesej di aplikasi WhatsApp.
“Selepas menekan pautan itu, saya diminta untuk mengisi nama, nombor kad pengenalan, emel dan memasukkan nombor kod pengesahan transaksi (OTP) yang diterima,” katanya.
Wanita itu berkata, selepas mengisi semua maklumat berkenaan, dia mendapati berlaku 26 transaksi wang yang keluar dari akaun bank miliknya.
“Keseluruhan kerugian yang saya alami menerusi 26 transaksi pengeluaran itu adalah sebanyak RM14,672.
“Susulan itu, saya membuat laporan polis di Bukit Jalil pada 4 Januari lalu dan kes disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Jenayah Komputer 1997,” katanya.
Seorang lagi mangsa, lelaki warga emas berusia 77 tahun dari Penampang, Sabah berkata, dia menerima panggilan yang mendakwa kononnya dari sebuah bank, 8 Januari lalu.
“Saya diminta untuk mengesahkan beberapa transaksi membabitkan sejumlah wang yang dibuat menggunakan kad kredit.
“Mereka mendakwa jika transaksi itu tidak dibuat, saya perlu menekan pautan yang dihantar untuk membatalkan transaksi berkenaan,” katanya.
Selepas menekan pautan itu, dia diminta memasukkan maklumat termasuk berkaitan perbankan.
“Saya kemudian mendapati berlaku pengurangan wang dari akaun bank sebanyak RM57,298.
“Selain itu, kad kredit saya turut dicaj sebanyak RM19,994 menjadikan keseluruhan kerugian dialami adalah sebanyak RM77,292,” katanya yang memaklumkan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan. – JURNAL
Sumber: HARIAN METRO