Penilaian impak projek rintis Dasar Gaji Progresif akan dilaksanakan September ini bagi memastikan ketersediaan dasar itu sebelum pelaksanaannya diputuskan secara menyeluruh.
Timbalan Menteri Ekonomi, Datuk Hanifah Hajar Taib berkata, projek rintis bagi Dasar Gaji Progresif pula akan dimulakan pada Jun hingga Ogos 2024.
Katanya, sehingga kini, terdapat empat Jawatankuasa Kerja Pelaksanaan merentas kementerian dan agensi ditubuhkan dan sedang melaksanakan gerak kerja untuk memperincikan mekanisme pelaksanaan Dasar Gaji Progresif.
“Ia merangkumi Jawatankuasa Kerja Pembangunan Dasar, Jawatankuasa Pembangunan Sistem, Jawatankuasa Peningkatan Kemahiran dan Produktiviti serta Jawatankuasa Kerja Panduan Kenaikan Gaji Tahunan.
“Tujuan utama Dasar Gaji Progresif adalah meningkatkan gaji pekerja sektor swasta secara sistematik bagi membolehkan ekonomi negara maju ke rantaian nilai yang lebih tinggi,” katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.
Beliau menjawab soalan Datuk Andi Muhammad Suryady Bandy (BN-Kalabakan). – JURNAL
Sumber: BERITA HARIAN