Perkhidmatan penerbangan terus yang pertama dari Shanghai, China ke Pulau Pinang, mulai 31 Mei ini akan merangsang kemajuan industri perniagaan dan pelancongan Pulau Pinang selain mencerminkan hubungan yang semakin berkembang antara China dan Malaysia.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Ekonomi Kreatif negeri Wong Hon Wai berkata, Juneyao Airlines yang berpangkalan di Shanghai menawarkan empat
penerbangan setiap minggu antara kedua-dua bandar berkenaan.
Katanya perkembangan ini sekali gus dijangka mendorong sinergi ekonomi antara kedua-dua negara, memudahkan perdagangan, pelaburan dan kerjasama yang lancar merentas pelbagai sektor.
“Laluan Shanghai-Pulau Pinang akan memenuhi permintaan daripada pengembara di wilayah Utara China. Dengan kemudahan sambungan udara secara terus, Pulau Pinang bersedia untuk menarik kemasukan pelancong yang lebih besar dari Shanghai dan wilayah Utara China,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Wong berkata selain meningkatkan sektor hospitaliti Pulau Pinang, penerbangan baharu itu akan menawarkan peluang dari segi pertukaran silang budaya,
mengukuhkan lagi hubungan dua hala antara Malaysia dan China.
Menurutnya setakat ini Pulau Pinang mempunyai sambungan penerbangan terus ke 15 bandar antarabangsa, termasuk Guangzhou, Xiamen, Hong Kong, Dubai,
Singapura, Bangkok, Phuket, Medan, Jakarta, Surabaya, Banda Aceh, Taipei, Ho Chi Minh City, Doha dan Haikou.
Mengenai kekerapan penerbangan, beliau berkata jumlah penerbangan antarabangsa mingguan pada Februari 2024 mencapai 303, melebihi 204 penerbangan dalam tempoh sama pada 2023.
“Oleh itu, jumlah ketibaan antarabangsa pada Februari 2024 merekodkan 148,349 penumpang, manakala jumlah ketibaan antarabangsa pada Januari 2024 sebanyak 145,391 penumpang, menunjukkan pertumbuhan 29.11 peratus berbanding Januari 2023, yang merekodkan 112,612 penumpang,” katanya. – JURNAL
Sumber: BERNAMA