Seramai 20 peserta Program Jelajah Silaturahim Malaysia ke Makkah terdiri daripada 13 lelaki dan tujuh wanita memulakan kembara melalui jalan darat menuju ke Tanah Suci Makkah, hari ini.
Program julung kali diadakan itu anjuran Aimpro Samudra Resources dengan kerjasama Kerajaan Negeri Melaka sempena Tahun Melawat Melaka (TMM 2024) dengan simbolik pelepasan konvoi disempurnakan Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh di Perkarangan Lobi Blok Bendahari, Seri Negeri, di Ayer Keroh.
Ab Rauf berkata, penyertaan peserta dari seluruh Malaysia mewakili pelbagai lapisan umur membuktikan semangat dan jati diri rakyat negara ini dalam membawa nama negara ke seluruh pelosok dunia.
“Hari ini hari yang bersejarah, kita meraikan peserta program jelajah yang bersemangat kental dan waja untuk menuju ke Makkah bagi menunaikan fardu haji.
“Sepanjang misi kembara ini peserta juga membawa nama negeri Melaka juga dengan mengedarkan risalah bersempena promosi kempen TMM 2024,” katanya berucap pada majlis itu.
Hadir sama, Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman dan Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman.
Ab Rauf berkata, konvoi itu adalah gabungan pelbagai kenderaan terdiri daripada empat motosikal dan enam kereta termasuk Proton Wira LHD Sedan, kenderaan pacuan empat roda dan motosikal pertama buatan Malaysia, Modenas Kriss 110.
Menurutnya, beliau difahamkan misi jelajah akan melalui 11 negara dengan anggaran perjalanan lebih 15,000 kilometer bermula 21 Mac hingga 27 April depan.
“Namun ia bergantung kepada tahap pemanduan, bentuk muka bumi, reka bentuk jalan raya, faktor cuaca dan jenis kenderaan.
“Perjalanan jelajah ini akan melalui Malaysia, Thailand, Laos, China, Nepal, India, Pakistan, Iran, Iraq, Kuwait dan Arab Saudi.
“Perjalanan amat mencabar, mereka terpaksa menempuh pelbagai halangan termasuk musim panas. Didoakan mereka selamat tiba tanpa halangan yang menggagalkan perjalanan ini…saya ucapkan semoga perjalanan ini diberkati dan disempurnakan hajat untuk tunaikan fardu haji,” katanya.
Beliau berkata, penganjur memaklumkan keseluruhan kos misi jelajah berkenaan dianggarkan RM580,000 dan Kerajaan Negeri Melaka turut menyumbangkan RM100,000. – JURNAL
Sumber: HARIAN METRO