Sering kali kita mendengar perkataan ‘psikopat.’ Apa itu psikopat? Psikopat atau sering disebut dengan psiko adalah gangguan mental yang dikuasai oleh kurangnya pengawalan emosi tersusun dan teratur daripada individu menghidapnya.
Sikap sedemikian akan menyebabkan penderitaan kepada individu yang berpenyakit itu seperti antisosial, kecenderungan melanggar peraturan dan undang-undang termasuk melanggar undang-undang dengan kegiatan jenayah sempurna daripada rancangannya yang turut boleh melakukan keganasan.
Menurut ahli psikologi, psikopat sebenarnya adalah sebahagian daripada gangguan keperibadian antisosial atau antisocial personality disorder (APD). Beberapa ahli menyebut, psiko dan APD memiliki pengertian sama, tetapi sebahagian lainnya menilai psikopat sebagai bentuk APD yang lebih parah. Sesetengah individu dalam terma penyakit ini akan bersikap manipulasi diri untuk mendapat kepercayaan orang lain, dalam erti kata mudah berolok-olok dengan kebaikan agar diterima dalam kumpulan, persahabatan atau perhubungan.
Mereka belajar untuk meniru emosi yang sebenarnya tidak dialami dan akan tampak seperti orang normal. Bahkan, mereka sering menunjukkan tahap terbaik dan sangat memukau orang sekeliling. Individu sebegini biasanya ada pelajaran dan memiliki pekerjaan stabil. Bahkan, terkadang mereka memiliki keluarga dan hubungan jangka panjang lain tanpa seorang tahu sifat sejati mereka.
Penghidap psikopat itu sebenarnya tidak akan mempedulikan perasaan orang lain dan akan sentiasa melakukan perbuatan tidak bermoral, sering berbohong, bahkan ada yang melakukan jenayah, tanpa penyesalan dan rasa bersalah. Sikap inilah yang kemudian akan nampak terus pada kehidupannya termasuk merosakkan organisasi, jabatan, pekerjaan serta hubungan dengan keluarga dan persekitaran sosialnya. Sejauh manakah psikopat berada dalam persekitaran kita? Psikopat adalah gangguan keperibadian yang terdapat di semua lapisan masyarakat. Diadaptasi daripada beberapa kes rujukan yang penulis baca dan jumlah individu berpenyakit sedemikian ialah satu peratus daripada populasi persekitaran dan jumlah lelaki adalah tiga kali ganda daripada jumlah wanita yang menghidap atau dihinggapi penyakit begini.
Ciri-ciri individu psikopat:
l Mempesona dan pandai berbicara. Psikopat biasanya mempunyai kecenderungan untuk bersikap baik, menarik, menawan, cerdik dan pintar berbicara. Mereka umumnya berbicara dengan cepat dan berenergi dan sering mencelah percakapan orang lain dengan pelbagai maklumat yang meyakinkan. Kebanyakan orang benar-benar menyukai individu dengan sikap seperti ini.
l Bongkak yang tinggi. Psikopat adalah seseorang yang memiliki pandangan terlalu tinggi terhadap kemampuan dirinya, percaya diri, tampak karismatik atau menggetarkan bagi orang lain serta sombong. Mereka percaya bahawa mereka unggul.
l Tak tahan rasa bosan. Seseorang dengan psikopat sering memiliki tahap disiplin rendah dalam menjalankan tugas hingga selesai kerana mudah bosan. Mereka tidak mampu melakukan pekerjaan sama dalam waktu panjang atau tugas rutin.
l Gemar perilaku antisosial membahayakan. Perilaku antisosial seperti menipu, berbohong, merompak, mencuri, berkelahi, berzina dan membunuh adalah perilaku yang menarik bagi penghidap penyakit ini. Mereka nampak tertarik dengan perilaku antisosial yang berisiko tinggi tanpa tujuan jelas.
l Kurang rasa penyesalan atau rasa bersalah. Psikopat cenderung tidak peduli, tidak memihak, berhati dingin dan tidak empati. Oleh itu, penghidapnya tidak akan peduli dengan kerugian, rasa sakit dan penderitaan mangsa mereka.
l Cenderung gaya hidup parasit. Ciri-ciri psikopat lain memiliki kebergantungan secara sengaja kepada orang lain seperti dalam hal kewangan. Dia suka mengambil kesempatan, egois dan mengeksploitasi orang lain untuk kepentingan diri berikutan kurang motivasi, memiliki disiplin rendah dan tidak mampu menyelesaikan tanggungjawab diberikan.
l Gagal mengawal tingkah laku. Psikopat memiliki perilaku mudah marah, garang, tidak sabar, mengancam, agresif dan memaki kerana kurang kemampuan mengawal marah dan emosi.
l Masalah perilaku sejak usia muda. Mereka sering melakukan berbagai perilaku seperti berbohong, mencuri, melakukan kecurangan, terbabit gejala sosial, minum arak dan melarikan diri dari rumah pada usia kurang 13 tahun.
l Perilaku seksual tidak menentu. Sebahagian orang dengan kedudukan ini sering memiliki hasrat seksual yang dianggap abnormal seperti memiliki hasrat kuat dan terus menerus melakukan kontak seksual dalam diri.
l Tidak mampu mencintai. Psikopat sangat ego hingga sukar orang normal memahaminya. Mereka mementingkan diri sehingga membuatkan mereka benar-benar tidak mampu mencintai orang lain termasuk orang tua, pasangan dan anak.
l Tidak dapat menerima kegagalan. Orang psikopat berpura-pura ketika meniru emosi manusia normal yang sebenarnya tidak pernah dirasakannya. Ini berlaku ketika mereka menghadapi kegagalan. Ketika mereka menjadi rendah hati dan cuba memperbaiki kesalahan mereka, sebenarnya mereka ada tujuan untuk kepentingan diri dan tidak mahu persalahkan orang lain.
Secara santai, satu rumusan dapat dibuat jika terdapat tanda psikopat dalam diri kita. Kita harus bijak mencari penyelesaian agar ia tidak merosakkan diri sendiri dan andainya kita perhatikan ada elemen begini dalam kalangan pasangan, keluarga atau rakan, jangan segan atau malu untuk menegurnya. – JURNAL
Sumber: HARIAN METRO