Malaysia menegaskan komitmen tidak berbelah-bahagi dalam menangani Islamofobia termasuk menangani keganasan dan kebencian terhadap individu berdasarkan agama atau kepercayaan masing-masing.
Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, Malaysia terus menjunjung Perkara 1 di dalam Deklarasi Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu menyatakan bahawa semua manusia dilahirkan bebas dan sama rata dari segi kemuliaan dan hak-hak.
“Hari ini merupakan sambutan Ulangtahun Ketiga Hari Antarabangsa Memerangi Islamofobia. Sambutan ini merupakan satu gesaan untuk menghentikan tindakan kebencian terhadap Islam,” katanya dalam satu kenyataan media.
Menurutnya, Malaysia bimbang dengan pengiktirafan terhadap tindakan-tindakan provokasi, tidak menghormati dan tindakan yang menyinggung perasaan termasuk insiden pembakaran kitab suci Al-Quran secara berterusan.
“Perkara ini akan terus menyemai sifat kebencian dan keganasan terhadap umat Islam dan golongan agama minoriti yang lain.
“Tindakan tersebut adalah manifestasi Islamofobia yang amat merbahaya dan telah menular menjadi wabak; dan jika tindakan bersifat Islamofobia ini tidak dibendung, ia akan menyumbang kepada peningkatan keganasan disamping menormalisasikan kebencian terhadap umat Islam di seluruh dunia.
“Ini cuma akan menghakis usaha memupuk keamanan dan keharmonian di peringkat antarabangsa,” katanya.
Ujarnya, Malaysia mengalu-alukan pelbagai inisiatif Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), Majlis Hak Asasi Manusia dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) yang menyeru supaya masyarakat antarabangsa mengukuhkan lagi usaha untuk menggalakkan budaya toleransi dan keamanan berdasarkan penghormatan kepada hak asasi manusia, kepelbagaian dan kepercayaan agama.
“Malaysia percaya bahawa tindakan yang lebih nyata adalah amat perlu bagi menangani punca Islamofobia. Malaysia menggesa masyarakat antarabangsa untuk mengenalpasti langkah-langkah kukuh dalam membanteras keadaan dan perlakuan semasa yang memupuk perbuatan-perbuatan keji ini.
“Malaysia menyokong penuh seruan bagi pelantikan ‘Perutusan Khas Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu untuk memerangi Islamofobia’. Dialog antara budaya dan agama memainkan peranan penting dalam memupuk keamanan, kesederhanaan dan toleransi beragama.
“Sebagai sebuah negara berbilang kaum dan agama, Malaysia percaya bahawa nilai kesederhanaan dapat merapatkan perbezaan dan menyelesaikan pertikaian berdasarkan amalan saling hormat-menghormati dan memahami, toleransi, dialog, bertolak ansur, keharmonian, keterangkuman dan keadilan.
“Malaysia kekal teguh dengan komitmen untuk bekerjasama dengan semua pihak berkepentingan dalam memerangi Islamofobia dengan berkesan,” katanya. – JURNAL