Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengambil inisiatif untuk memperkasakan penguasaan bahasa Melayu dalam kalangan murid dengan membudayakan amalan membaca akhbar di sekolah.
KPM dalam satu kenyataan media menyatakan pihak sekolah diseru melanggan tiga akhbar Bahasa Melayu sebagai bahan bacaan.
“Bagi menjayakan inisiatif tersebut, sekolah-sekolah KPM di Semenanjung Malaysia diseru untuk melanggan akhbar Berita Harian, Utusan Malaysia dan Sinar Harian yang merupakan akhbar utama berbahasa Melayu di negara ini,” katanya.
“Pembelian akhbar boleh dilakukan terus oleh pihak sekolah menggunakan peruntukan sedia ada. KPM percaya inisiatif ini dapat membantu meningkatkan penguasaan bahasa kebangsaan dalam kalangan murid,” katanya.
Tahap penguasaan Bahasa Melayu sering menjadi isu dalam kalangan masyarakat di negara ini. KPM sebelum ini meneruskan komitmen terhadap mengukuhkan penggunaan Bahasa Kebangsaan menerusi penganjuran Sambutan Dekad Bahasa Kebangsaan pada tahun lalu yang dijenamakan semula daripada Bulan Bahasa Kebangsaan.
Bagi mencapai matlamat tersebut, pelbagai program kebahasaan dan kesusasteraan dijalankan di seluruh negara merangkumi kerjasama Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan Jabatan Perpaduan dan Integrasi Nasional (JPNIN) serta Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM).- JURNAL