Pindaan Akta Persaingan 2010 akan menyaksikan Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) mempunyai kuasa untuk menghalang pembentukan kartel atau monopoli pada peringkat awal.
Bagaimanapun Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali, menerusi jawapan bertulis di Dewan Rakyat tidak memperincikan bila pindaan akan dilakukan.
“MyCC akan membentangkan pindaan kepada Akta Persaingan 2010 yang antaranya memperkenalkan kuasa baharu kepada MyCC untuk mengawal penggabungan dan pengambilalihan supaya memberi jalan baharu untuk MyCC menghalang daripada awal pembentukan kartel atau monopoli,” katanya.
Beliau menjawab pertanyaan dikemukakan Syahredzan Johan (PH-Bangi) yang meminta kementerian memperjelaskan mengenai langkah-langkah bagi mengelakkan situasi monopoli kartel bahan makanan asas di masa hadapan.
Antara pendekatan lain diambil MyCC, tambah Armizan adalah suruhanjaya itu turut mengadakan kolaborasi dan kerjasama dengan agensi relevan.
Ia termasuk dengan pihak kementerian sendiri, Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) dan sebagainya.
“Salah satu cara adalah dengan menubuhkan satu jaringan kerjasama di semua peringkat untuk membanteras kartel secara strategik dan efektif,” katanya.
Di samping itu, Armizan berkata MyCC juga menjalankan kajian semula pasaran dalam sektor atau pasaran tertentu terutama membabitkan makanan dan pertanian.
Jelasnya, ia untuk mengenal pasti isu persaingan yang berpotensi mengganggu gugat proses persaingan dalam pasaran, sekali gus menjejaskan kos sara hidup rakyat.
“MyCC sebagai penasihat kerajaan dalam isu persaingan, mengeluarkan nasihat dasar dan ekonomi kepada kementerian serta agensi kerajaan berkenaan isu-isu persaingan,” katanya.
Sehingga kini, MyCC mengeluarkan lebih 100 nasihat dasar dan 40 nasihat ekonomi kepada beberapa kementerian dan agensi kerajaan bagi memastikan dasar kerajaan adalah sejajar dengan prinsip persaingan. – JURNAL
Sumber: BERITA HARIAN