Mula bekerja ketika zaman muda banyak memberi pengalaman berharga kepada Pengasas Kayman Beauty, Nabella Annuar dalam membina keyakinan diri untuk berjaya sebagai usahawan.
Akui anak jati dari Sungai Petani ini, dia bekerja mencari duit saku sendiri sejak zaman belajar di universiti sebelum mengusahakan perniagaan produk kecantikan sendiri.
“Saya buat bisnes ketika masih belajar termasuk buat teksi sapu dan kereta sewa di universiti serta ‘dropship’. Saya berdikari tanpa meminta duit belanja daripada keluarga,” katanya.
Menurutnya, dia bekerja menyediakan perkhidmatan ‘kereta sapu’ ketika tiada kelas pengajian.
“Saya hantar siapa-siapa ke kelas. Sebulan kadang-kadang paling banyak boleh dapat RM10,000 dan bagi pelajar, jumlah itu begitu banyak tetapi ketika ada peperiksaan, mungkin dapat dalam RM3,000 tapi ia masih boleh menampung kehidupan,” katanya.
Pada tahun 2017, Nabella menjalankan perniagaan menerusi produk kecantikan sendiri yang diberi nama Kayman.
“Di Malaysia, ramai orang berminat nak jadi putih. Saya juga suka kecantikan dan bila cari produk, semua mempromosi produk ‘whitening’ yang tidak ‘healthy’ untuk generasi sekarang.
“Saya percaya di Malaysia ada banyak jenis kecantikan seperti kita ada Melayu, Cina, Iban, Kadazan dan India. Setiap orang mempunyai ‘skin tone’ yang berbeza dan saya rasa malu jika kita ‘standardize’ semua begitu sahaja,” katanya.
Ujarnya, dia mencipta produk kecantikan yang memberi kelebihan pada kesihatan kulit.
“Kayman diambil daripada nama singkatan bapa saya yang dipanggil Uncle Kay dan dia seorang cikgu, dekat buku ada tulis perkataan Kayman,” katanya.
Tambahnya, didikan bapanya sebagai guru banyak melatih dirinya menjadi ketua dan berjiwa pemimpin.
“Saya percaya satu saja, ‘you have to take until you make it’. Mungkin ada waktu rasa tak yakin tetapi kita perlu buat sesuatu.
“Masa awal berbincang dengan suami, saya bertanya kita nak Kayman ini ke mana dan apa nak kita ‘represent’ kat dunia luar dan bila orang tengok Kayman apa mereka rasa.
“Saya rasa perkara itu sangat penting dan kami berpegang teguh pada misi dan visi syarikat yang menerajui ‘team’ termasuk bahagian pemasaran, penyelidikan dan pembangunan (R&D),” katanya.
Bagi mereka yang ingin mengetahui lebih lanjut mengenai bisnes yang dijalankan Nabella, jangan lupa saksikan temu bual bersamanya dalam program bual bicara terbaharu, Sembang Protege x KRU dalam Episod 6 – ‘Jiwa Kental’ menerusi platform laman sosial PROTEGE di YouTube, Facebook dan Instagram.- JURNAL