Dianggarkan sebanyak 90,000 tan makanan dibuang ke dalam tong sampah di seluruh negara sepanjang Ramadan tahun lalu, menurut Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP).
Presidennya, Mohideen Abdul Kader berkata, ia menunjukkan pembaziran makanan meningkat antara 15 hingga 20 peratus ketika Ramadan berbanding purata pada bulan lain.
Sehubungan itu CAP menggesa orang ramai supaya tidak membazir makanan sepanjang kehadiran Ramadan yang kebanyakannya berakhir di tapak pelupusan sampah.
“Ramadan sepatutnya menjadi bulan beribadat umat Islam tetapi bagi sesetengah orang ia menjadi bulan untuk menjamu selera dan membazir dalam perbelanjaan.
“Islam menyuruh umatnya supaya mengelakkan bersikap rakus, membazir dan boros,” katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.
Mengulas lanjut Mohideen berkata, berlawanan dengan ajaran itu, sesetengah orang makan dan minum begitu banyak sehingga menjadi malas dan mengabaikan kewajipan solat.
Katanya, kerakusan atau bersikap lahap juga boleh memberi kesan sampingan kesihatan yang serius seperti diabetes, penyakit koronari dan tekanan darah tinggi bagi mereka yang memuaskan hati dengan menurut hawa nafsu.
“Iftar, berbuka puasa, secara tradisinya dilakukan di rumah bersama ahli keluarga atau di masjid dalam suasana kerohanian bertukar kepada ‘pesta makan dengan 100 jenis hidangan’ di hotel dan restoran yang menjadi sumber keuntungan bagi perniagaan.
“Buang makanan merupakan satu dosa memandangkan ia menafikan makanan bagi mereka yang memerlukan dan generasi masa depan.
“Ia juga melenyapkan sumber dan menyumbang kepada kemerosotan alam sekitar melalui pencemaran laut atau sungai dan melepaskan karbon dioksida yang bertanggungjawab terhadap pemanasan global,” katanya
Mohideen berkata, tujuan berpuasa ialah bagi merasakan kelaparan yang dialami golongan miskin dan terpinggir supaya kita mempunyai sikap empati kepada mereka.
Katanya, kini lebih dua juta rakyat Palestin menghadapi kebuluran jadi kita tidak sepatutnya buang begitu banyak makanan pada bulan yang suci ini.
“Golongan kaya seharusnya berkongsi kekayaan mereka dengan mereka yang miskin dan memerlukan, bukannya bersikap rakus dan bermegah-megah dalam cara hidup.
“Gunakan kekayaan anda bagi membantu golongan miskin dan terpinggir keluar daripada kemiskinan dan penindasan dan menyokong program amal jariah.
“Marilah kita berazam bagi menjadikan Ramadan ini lebih bermakna.
“Elakkan daripada berbuka puasa di hotel dan sebagai ganti berbuka puasa di rumah dan masjid dengan ahli keluarga dan rakan-rakan dengan jemput jiran bukan Islam berbuka puasa bersama, dengan cara ini kita dapat membina hubungan baik dan persefahaman dalam kalangan rakyat Malaysia,” katanya.
Tahun lalu, media melaporkan sisa pepejal khususnya sisa makanan yang dikutip Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) ketika Ramadan meningkat setiap tahun.
Timbalan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan ketika itu, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, jumlah kutipan sisa pepejal ketika Ramadan pada 2022 mencatatkan sebanyak 252,521 tan berbanding 208,143 tan pada 2019.