Paluan beduk mengiringi ketibaan Ramadan di Masjid Jamek Cherok Tokun Bawah di sini bagaikan cubaan menggetarkan hati insan-insan yang mencari keredhaan-Nya.
Gema ketukannya bakal berkumandang tiga kali sehari sepanjang bulan puasa ini iaitu sebelum waktu sahur, pada waktu berbuka dan selepas solat tarawih, sekali gus menaikkan semangat selain memeriahkan suasana beribadah buat ahli kariah.
Beduk atau tabuh berusia lebih 40 tahun, seberat hampir 70 kilogram (kg) dan diperbuat daripada kulit lembu itu telah berada di masjid berkenaan sejak 1980an, namun tradisi memalu gendang itu setiap bulan Ramadan hanya dihidupkan semula lebih 10 tahun lepas.
Ketua Pemuda Jawatankuasa Masjid Cherok Tokun Bawah Mohd Rostam Rahim berkata semasa memulakan inisiatif menghidupkan semula tradisi itu, pihaknya
terpaksa membaik pulih beduk tersebut yang mengalami sedikit kerosakan akibat terlalu lama terperuk di belakang masjid.
Beliau berkata langkah itu antara lain bertujuan menghidupkan semula tradisi lama serta mengimbau nostalgia suasana menyambut Ramadan dan berpuasa pada zaman dahulu.
“Beduk ini dikeluarkan hanya setahun sekali khusus untuk kegunaan sepanjang Ramadan.
“Kita cuba untuk hidupkan kembali tradisi memukul beduk ini kepada generasi muda kerana kita tidak mahu ia lenyap ditelan zaman di samping mengimbau kembali memori orang dulu-dulu berpuasa,” katanya kepada Bernama.
Menurut Mohd Rostam kebiasaannya golongan belia yang memalu beduk itu setelah diberi tunjuk ajar oleh generasi tua mengenai kaedah yang betul.
Selain itu katanya sejak amalan itu dimulakan semula sedekad lepas, beduk berkenaan sudah empat kali dibaik pulih kerana mengalami beberapa kerosakan.
“Baru-baru ini kami terpaksa hantar beduk ini ke Kuala Kangsar, Perak untuk diperbaiki kerana orang yang pandai baiki beduk ini di sini sudah meninggal dunia,” katanya dan menambah pihaknya juga telah menempah pemukul beduk baharu untuk kegunaan Ramadan ini.
Dalam pada itu beliau berkata sempena Ramadan pihak jawatankuasa bersama kira-kira 70 ahli kariah telah bergotong-royong membersihkan seluruh kawasan
masjid selain merancang pelbagai aktiviti khususnya bagi menarik golongan muda.
“Antaranya adalah memasak bubur lambuk, bantuan kepada golongan asnaf, majlis berbuka beramai-ramai selain pengagihan makanan kepada gelandangan.
“Pada waktu malam selepas tarawih pula kita akan jaga lalu lintas sebab nak pastikan keselamatan memandangkan kita jangka akan terima kehadiran kira-kira 800 jemaah di masjid ini,” katanya.
Menurut Mohd Rostam pihaknya turut gembira kerana masjid itu mula menerima kehadiran ramai jemaah dalam kalangan belia iaitu kira-kira 80 peratus – JURNAL
Sumber: BERNAMA