Lembaga Tabung Haji (TH) mengambil langkah proaktif dengan membekukan akaun pendeposit berikutan kes mangsa penipuan scammer yang mana sejumlah RM12,000 telah dipindahkan melalui lima transaksi dalam masa empat hari.
Menurut kenyataan TH, pembekuan akaun dilakukan bagi mengelakkan berlaku kerugian yang lebih besar dan ia dibuat tiga hari sebelum aduan setelah didapati berlaku transaksi yang mencurigakan.
“Pihak TH sedang melakukan siasatan atas perkara ini dan kami sentiasa bekerjasama dengan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) ke atas kes penipuan siber,” katanya.
Terdahulu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar mengarahkan TH memperkukuhkan tahap keselamatan perkhidmatan digitalnya, THiJARI bagi menangani isu wang pendeposit yang didakwa lesap.
Mohd Na’im berkata, TH juga telah membuat laporan polis berkenaan kejadian yang berlaku melibatkan aplikasi THiJARI dan akan terus bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menangani isu berkenaan.
Menurut kenyataan itu, orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuka mesej dan hantaran yang meragukan atau berkongsi data peribadi dengan mana-mana pihak.
Katanya, TH telah membangunkan platform atas talian, THiJARI yang dilengkapi dengan pelbagai ciri keselamatan antaranya, nama pengguna, kata laluan yang dienkripsi serta gambar keselamatan.
Pendeposit boleh berhubung dengan THCC di talian 03-62071919. – JURNAL
Sumber: MALAYSIA GAZETTE