Jenama pada bisnes sangat penting dalam menari perhatian orang ramai sebagai pembeli.
Perkara tersebut diakui ahli perniagaan, Zul Rusydi yang menjalankan perniagaan makanan berupa bertih jagung dengan memperkenalkan jenama Kokoshka.
“Kokoshka sebenarnya bermaksud popcorn dalam bahasa Albania. Masa mula berniaga, saya terfikir nak cari jenama apa nak jual, jadi terjemahkan dulu popcorn dalam bahasa pelbagai negara sehingga saya nampak jenama Kokoshka lebih interaktif dan mudah nak beritahu pada orang, bila sebut Kokoshka rasa macam ada impak,” katanya.
Menurutnya, dia memulakan perniagaan produk makanan ringan iaitu bertih jagung secara sambilan dari rumah.
“Saya mula berniaga dari rumah, cuba dulu macam mana. Siang ada kerja hakiki, malam baru mula buat perniagaan sambilan.
“Daripada sambilan saya rasa benda ini boleh pergi serius dan saya terus ubah kepada perancangan lebih serius,” katanya.
Zul Rusydi sebelum ini bekerja di sebuah agensi pemasaran membelanjakan modal perniagaan sebanyak RM3,000.
“Popcorn adalah makanan yang mudah dan pada masa itu tiada orang yang buat, kawan ajak buat sekali dan kita buat sama-sama.
“Saya berniaga mengikut peringkat sehingga mengambil keputusan berhenti kerja dan memberi sepenuh masa pada perniagaan sendiri.
“Setiap bisnes ada risiko dan saya juga tidak tahu apa akan terjadi tapi saya nampak produk ini boleh pergi jauh dan semua orang suka. Masa itu kita mula sistem agen dan jual secara borong dan memang nampak potensi ada boleh bertahan lama,” katanya.
Dari aspek membina rangkaian perniagaan, dia mengambil pendekatan dengan menjual secara terus kepada pelanggan.
“Saya memang jual secara terus pada pelanggan untuk memberi pengenalan pada orang ramai dan daripada ‘consumer’ ia bertukar kepada ‘reseller’.
“Daripada situ kita bangunkan sistem untuk ‘reseller’ punya harga dan ‘consumer’ punya harga. Produk mesti ada logo halal dan syarat agak tinggi, itu pun salah satu cabaran yang sukar bagi saya,” katanya.
Baginya, cabaran dalam membina rangkaian perniagaan turut merangkumi aspek harga.
“Macam saya dari awal guna sistem agen, daripada harga agen berapa, ‘distributor’ berapa sampai consumer. Adakah ia menepati kemampuan pembeli.
“Semua agen sama dan kebanyakan agen di Lembah Klang tapi pasaran di pasaraya, ia sudah berada di seluruh negara,” katanya.
Ikuti temu bual lanjut bersama Zul Rusydi yang menjalankan bisnes Kokoshka dalam program bual bicara terbaharu, Sembang Protege x KRU dalam Episod 5 – ‘Membina Rangkaian Perniagaan’ menerusi platform laman sosial PROTEGE di YouTube, Facebook dan Instagram.
Program terbitan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) dengan kerjasama KRU Studios dihoskan Dato’ Norman Abdul Halim bersama Anas Ridzuan. – JURNAL