Sebuah premis yang disyaki menggunakan logo halal tidak sah bagi produk makanan ringan di Kawasan Perindustrian Jelapang di sini diserbu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) semalam dengan nilai sitaan diperoleh ketika operasi itu mencecah RM88,582.50.
Pengarah KPDN Perak, Datuk Kamalludin Ismail berkata, serbuan oleh sepasukan pegawai dan anggota penguat kuasa KPDN Perak bermula pukul 11 pagi itu merupakan hasil maklumat awam dan risikan oleh pihaknya berhubung aktiviti memproses makanan di kawasan tersebut yang disyaki menggunakan logo halal tidak sah.
“Ketika pemeriksaan dilakukan, premis ini sedang beroperasi dengan memproses makanan produk ‘Salted Egg Salmon Skin’. Seorang wanita tempatan yang disyaki pengurus premis hadir dan membantu pemeriksaan.
“Hasil pemeriksaan lanjut telah menjumpai sejumlah produk makanan ringan yang telah ditandakan dengan logo halal. Semakan awal mendapati logo halal ini digunakan untuk tujuan perdagangan secara tidak sah,” katanya di sini hari ini.
Biau berkata, pengurus premis terbabit turut gagal mengemukakan sebarang perakuan halal yang diperakuan oleh pihak berkuasa apabila diminta oleh pihak KPDN.
Sehubungan itu, Kamalludin berkata, satu tindakan kes telah diambil dengan tindakan menyita kesemua produk yang disyaki menggunakan logo halal tidak sah, balang plastik yang tertera logo halal dan dokumen perniagaan untuk siasatan lanjut di bawah Akta Perihal Dagangan 2011.
Menurut beliau, nilai keseluruhan barang rampasan adalah dianggarkan berjumlah RM88,582.50.
“Kes disiasat kerana melanggar Subperenggan 4 (1) Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011 Akta Perihal Dagangan 2011 yang menjadi kesalahan di bawah Subperenggan 8 (a) perintah yang sama.
“Jika sabit kesalahan, denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya bagi individu, manakala denda tidak melebihi RM250,000 bagi syarikat atau pertubuhan perbadanan,” katanya.
Tambah beliau, produk makanan ringan itu dijual secara dalam talian dan mendapat sambutan oleh ramai pengguna.
“KPDN menasihati serta menyeru kepada setiap peniaga dan pengusaha supaya mematuhi perundangan yang berkuat kuasa termasuk mendapatkan perakuan halal yang sah daripada agensi kerajaan. – BOOM!
Sumber: KOSMO!