Kementerian Pendidikan (KPM) meneruskan pelaksanaan minggu pertama persekolahan tanpa proses pembelajaran bagi sesi 2024/2025 yang akan bermula pada Ahad dan Isnin ini.
Ketua Pengarah Pendidikan, Azman Adnan berkata, minggu pertama itu bakal diisi dengan pelbagai program serta aktiviti bagi mewujudkan suasana yang menyeronokkan dalam kalangan murid.
“Ini merupakan tahun kedua kita laksanakan pendekatan ini yang mana pada minggu pertama sesi persekolahan tiada proses pembelajaran di dalam bilik darjah, tetapi kita jalankan program-program yang libatkan murid dan guru termasuk ibu bapa.
“Kita mahu menarik minat anak-anak untuk hadir ke sekolah supaya mereka dapat melalui ekosistem pembelajaran dan selepas itu pada minggu berikutnya mereka hadir dengan rasa yang menyeronokkan,” katanya menerusi sidang akhbar selepas menyampaikan amanat sempena pembukaan sesi persekolahan 2024/2025 di sini hari ini.
Mengulas lanjut, beliau turut meminta semua peringkat pengurusan tertinggi, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) memastikan kelancaran minggu pertama persekolahan diurus dengan baik termasuk kesiapsiagaan dari segi infrastruktur.
Menurutnya, pada permulaan sesi persekolahan kali ini, hari kedua atau ketiga bermula bulan Ramadan, maka kebijaksanaan barisan pentadbir di sekolah sangat dituntut untuk menyesuaikan aktiviti minggu pertama tersebut.
“Oleh itu saya meminta semua peringkat pengurusan, JPN dan PPD hadir ke sekolah pada minggu pertama persekolahan. Tujuannya adalah menzahirkan semangat kebersamaan semua peringkat pengurusan KPM dalam program minggu pertama.
“Aktiviti ini bukan bersifat pemantauan atau penilaian tetapi untuk menyantuni warga sekolah dalam program yang dilaksanakan,” ujarnya.
Ditanya berhubung dasar pendidikan digital (DPD), Azman berkata, ia digubal bertujuan untuk melahirkan generasi fasih digital dan berdaya saing bagi memenuhi keperluan era ekonomi digital.
“Dalam DPD, cukup jelas matlamat kita adalah anak-anak kita, kita hendak anak-anak ini menjadi fasih digital dan berupaya untuk meneroka, melaksanakan serta menggunakan teknologi digital itu.
“Ia untuk mempertingkatkan disiplin ilmu yang mereka pelajari dalam bilik darjah, kerana itu lah kita mahukan supaya pedagogi perlu selari dengan perkembangan teknologi ini.
“Jadi untuk itu, para guru juga mesti kita pastikan mereka kompeten dari segi penggunaan digital dengan memanfaatkan semua pendekatan digital yang ada untuk tujuan pedagogi dan juga proses pembelajaran dan pengajaran, itu yang paling penting. Semua ini terangkum dalam dasar pendidikan digital yang kita sudah luncurkan,” katanya. – JURNAL
Sumber: UTUSAN MALAYSIA