Malaysia komited untuk meneruskan pencarian pesawat Malaysia Airlines MH370 yang hilang ketika dalam penerbangan pada 8 Mac 2014, kata Menteri Pengangkutan, Anthony Loke.
Justeru, beliau berkata, pihaknya bersedia untuk bertemu firma penerokaan dasar laut, Ocean Infinity, bagi membincangkan cadangan pencarian itu atas kapasiti ‘no find, no fee’ (tidak jumpa, tiada bayaran) seperti yang dicadangkan oleh waris mangsa tragedi berkenaan.
Bagi tujuan itu, katanya, beliau akan mendapatkan kelulusan Kabinet berhubung perjanjian dengan Ocean Infinity, dan menjangka tiada masalah untuk Kabinet memberikan kelulusan.
“Sudah tentu kita memerlukan kelulusan Kabinet kerana ia membabitkan implikasi kewangan. Bentuk kontrak sebelum ini sudah berakhir kerana ia membabitkan pencarian pada 2017 dan berakhir pada 2018, jadi yang ini adalah cadangan baharu daripada Ocean Infinity.
“Walaupun kita memulakan cadangan ini berasaskan ‘no find, no fee’, kita berharap pesawat itu ditemukan… dan sebaik saja ditemukan, ada implikasi kewangan kepada kerajaan.
“Bukan kita tidak komited… sudah tentu kita komited tetapi kita memerlukan kelulusan Kabinet, dan saya sangat yakin Kerajaan Malaysia serta Kabinet akan meluluskan cadangan itu,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Memperingati MH370, di sini, hari ini.
Terdahulu, waris seorang penumpang pesawat itu, VPR Nanthan, menyerahkan kertas cadangan berkenaan kepada Loke.
Pada majlis itu, sebahagian waris penumpang dan anak kapal MH370 berkumpul bagi memperingati tragedi berkenaan. Pelbagai pengisian diadakan, termasuk ucapan daripada waris, bacaan sajak dan tayangan video, selain pameran serpihan MH370 dan yang dipercayai kemungkinan besar milik pesawat itu.
Mengulas lanjut, Loke berkata, Kerajaan Malaysia mahu melihat kepada petunjuk baharu yang boleh dipercayai, dan Ocean Infinity bersedia untuk cuba mendapatkannya.
Ditanya sama ada kawasan yang dicadangkan untuk pencarian baharu itu sesuai untuk mendapatkan petunjuk yang boleh dipercayai pula, beliau berkata, ia bergantung pada firma itu untuk membuktikannya.
“Saya bukan pakar untuk menyatakan sama ada ia dipercayai atau tidak. Saya yakin berdasarkan cadangan ini, kita tidak keberatan untuk memulakan pencarian.
“Mereka juga mengambil risiko untuk memastikan apa saja kos yang terbabit, akan ditanggung mereka. Jika mereka tidak dapat mencari pesawat itu, maka tidak ada bayaran untuk itu,” katanya.
Ditanya sama ada Malaysia sudah berhubung dengan Australia untuk cadangan pencarian baharu itu bagi mendapatkan kerjasama negara berkenaan, Loke berkata, ia akan dilakukan sebaik saja Ocean Infinity memuktamadkan cadangan mereka.
Pesawat MH370 yang membawa 239 penumpang dan anak kapal hilang ketika dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing pada 8 Mac 2014, sebelum ia diumumkan berakhir di Lautan Hindi.