Kehidupan penduduk berpendapatan rendah di kawasan bandar adalah jauh lebih sukar berbanding persepsi yang selama ini kononnya mereka mampu hidup senang.
Aktivis sosial tempatan, Dr. Lin Mui Kiang berkata, kelompok itu mengalami kemiskinan akibat kos sara hidup tinggi.
“Ramai berhijrah dari luar bandar kerana menyangka konon mampu mengubah nasib diri, tetapi apa yang berlaku, kehidupan mereka jadi miskin malahan jauh lebih perit,” katanya ketika menjadi ahli panel Diskusi Madani 2 bersempena dengan Kongres Ekonomi Bumiputera 2024 di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Mui Kiang yang juga Timbalan Presiden Persatuan Penggalakan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) mendedahkan pelbagai faktor penyumbang kepada isu miskin bandar.
Secara umum ujarnya, purata kos sara hidup bulanan di negara ini adalah RM9,000 untuk satu keluarga dengan empat orang, namun bagi individu perlu mempunyai gaji RM4,000.
Malangnya kata beliau, majoriti B40 di bandar berpendapatan kurang daripada itu, malah ada menerima upah bawah kadar minimum ditetapkan kerajaan iaitu RM1,500 sebulan.
“Ironi mereka tidak mampu tingkat taraf hidup ekoran kurang kemahiran selain persaingan sengit dengan warga asing dan berdepan jenayah di kawasan berisiko tinggi,” tegasnya. – JURNAL
Sumber: KOSMO!