Hospital Kuala Lumpur (HKL) di sini, menjadi satu-satunya hospital di bawah Kementerian Kesihatan (KKM) yang berada berada dalam kedudukan lima teratas bagi ranking Hospital Terbaik di Malaysia Newsweek 2024.
Hospital berkenaan menduduki tempat keempat dengan skor 87.06 peratus, mengatasi Pantai Hospital Kuala Lumpur dengan 86.99 peratus untuk berpuas hati di tangga kelima.
Tempat pertama milik Hospital Glengeagles dengan 89.50 peratus manakala Sunway Medical Center (88.84) dan Subang Jaya Medical Center (87.26), masing-masing di tempat kedua dan ketiga.
Turut tersenarai dalam 30 terbaik mewakili hospital di bawah KKM adalah Hospital Umum Sarawak di tempat ke-22 manakala Hospital Putrajaya di kedudukan ke-26.
Skor setiap hospital adalah berdasarkan tinjauan dalam talian ke atas lebih 85,000 pakar perubatan dan data awam daripada pesakit selepas dimasukkan ke hospital.
Skor itu juga mempertimbangkan aspek kebersihan, nisbah pesakit dan doktor serta tinjauan statistik sama ada hospital menggunakan Ukuran Hasil Dilaporkan Pesakit (PROM), iaitu kajian soal selidik yang perlu dilengkapkan oleh pesakit untuk menilai pengalaman dan keputusan mereka.
HKL dibuka sejak 154 tahun lalu iaitu pada 1870 sebagai hospital daerah.
Ia mempunyai 53 jabatan dan unit-unit lain termasuk Jabatan Pentadbiran dan Kewangan, Jabatan Farmaseutikal, Latihan dan Penyelidikan, 28 buah jabatan klinik dan 12 klinik perkhidmatan sokongan.
HKL ialah sebuah hospital terbesar di bawah KKM dan dianggap salah satu yang terbesar di rantau Asia Tenggara. – JURNAL
Sumber: BERITA HARIAN