Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, beliau terbuka untuk dicabar oleh sesiapa sahaja yang berhasrat untuk memegang jawatan nombor satu parti itu pada pemilihan parti akan datang.
Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah menjelaskan, ia bagi memberi peluang kepada kira-kira 160,000 perwakilan untuk memilih pucuk pimpinan parti khususnya bagi jawatan presiden dan timbalan presiden.
Bercakap kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Amanat Tahun Baharu 2023 Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), beliau menambah, terserah kepada perwakilan UMNO untuk membuat pilihan masing-masing, sekali gus menentukan hala tuju parti bagi memastikan UMNO kekal relevan di pentas politik.
“Kuasa mutlak adalah di tanfgan perwakilan yang mewakili cawangan dan bahagian masing-masing di seluruh negara,” katanya ketika menjawab sama ada dua jawatan utama parti itu akan dipertandingkan atau tidak dalam pemilihan akan datang.
Pada pemilihan yang diadakan pada 2018, Zahid dipilih sebagai Presiden setelah memperoleh 93 undi, menewaskan dua pencabarnya iaitu Khairy Jamaluddin (51) dan Tengku Razaleigh (23).
“Dalam pemilihan sebelum ini, saya dicabar dua ahli parti.
“Namun, keputusan memihak kepada saya. Bukan riak, bukan sombong dan takbur, tetapi ia terbukti pada 2018,” ujarnya.
Ditanya sama ada parti itu akan menjemput mana-mana parti gabungan dalam Kerajaan Perpaduan untuk menghadiri Perhimpunan Agung UMNO (PAU 2022) minggu depan, beliau memaklumkan, UMNO mengambil pendirian untuk tidak berbuat demikian.
PAU 2022 asalnya dijadualkan berlangsung pada 21 hingga 24 Disember lepas, tetapi ditangguhkan pada 11 hingga 14 Januari ini. – JURNAL
Sumber: BERNAMA