Bantuan asas hayat yang merupakan suatu bentuk pertolongan kecemasan yang diberikan melalui kaedah resusitasi kardiopulmonari (CPR) kepada mereka yang memerlukan, merupakan ilmu yang harus dipelajari oleh semua pihak demi menyelamatkan nyawa seseorang.
Pengajar Sokongan Hayat Asas (BLS), Dr Muhammad Rafiuddin Kalil berkata masyarakat tidak seharusnya memandang remeh terhadap ilmu bantuan itu ketika
berlakunya keadaan yang sangat mencemaskan.
“Ilmu ini (bantuan asas hayat) penting untuk kita berlajar sebab kita yang jadi responden pertama di lokasi kejadian sebelum bantuan paramedik atau doktor dari hospital sampai ke tempat kejadian yang akan mengambil sedikit masa.
“Kecemasan boleh berlaku di mana-mana sahaja dan kalau kita ada ilmu untuk digunakan dalam keadaan kecemasan, kita dapat memberi keputusan yang baik,” katanya ketika ditemui pada sesi kursus “Bantuan Asas Hayat” warga Bernama di sini, hari ini.
Beliau yang menerima pentauliahan Persatuan Jantung Kebangsaan Malaysia (NHAM) berkata kesedaran dalam kalangan masyarakat terhadap kebaikan dan juga keperluan bantuan asas hayat, agak kurang di negara ini.
Dr Muhammad Rafiuddin berkata rata-rata masyarakat bimbang kaedah melakukan CPR yang melibatkan dada pesakit ditekan sedalam 5 sm pada kadar sekurang-kurangnya 100 kali setiap minit, kerana ia juga boleh mencederakan dan juga memburukkan lagi keadaan pesakit.
“Apabila kita beritahu ahli keluarga tentang perlu menekan dada, mereka enggan, malah beritahu bahawa tekan dada ini boleh menyeksa pesakit, tetapi ada dalam kalangan mereka juga yang nak membantu pada waktu kecemasan tetapi tak tahu caranya,” katanya.
Katanya orang ramai boleh mempelajari keadah memberikan bantuan asas hayat dengan betul melalui kursus-kursus percuma yang disediakan oleh pelbagai pihak universiti, agensi kerajaan dan bukan kerajaan secara fizikal dan juga dalam talian.
Kursus yang diberikan meliputi langkah-langkah melakukan CPR bagi orang dewasa melalui kaedah DRCAB iaitu mengesan bahaya (Danger), memberikan tindak balas (Response) terhadap keadaan pesakit, melakukan pemampatan dada (Compression), membuka saluran pernafasan (Airway) dan memeriksa keadaan pernafasan (Breathing) mereka.
Kursus yang disertai oleh lebih 30 petugas Bernama telah dikendalikan oleh empat tenaga pengajar dari Klinik Syifa iaitu Dr Muhammad Rafiuddin, Dr Diyana Ahmad, Dr Nurfitri Wahdatul Amani Adam dan Dr Hanan Abd Mokhti. – JURNAL
Sumber: BERNAMA