Buat julung kalinya, Akademi Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Rasuah (AMLAC) memperkenalkan program Profesional Pengurusan Anti Rasuah di negara ini.
Dengan pengambilan pertama Sabtu lalu, program dengan kerjasama Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Space dan London Examination Board itu dijangka membantu pihak swasta dalam pengurusan anti rasuah.
Presiden AMLAC, Tan Sri Dzulkifli Ahmad berkata, program yang diilhamkan beliau itu ekoran penggubalan Seksyen 17A Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 untuk memastikan peruntukan liabiliti korporat dipatuhi pengurusan syarikat swasta.
Bekas Ketua Pesuruhjaya SPRM itu turut menambah, ia bagi memastikan keperluan di bawah Seksyen itu dipatuhi semua syarikat korporat di Malaysia.
“Apabila berlaku kesalahan kes rasuah oleh pekerja syarikat, pengarah syarikat dan pengurusan syarikat juga boleh dituduh di mahkamah.
“Peruntukan ini menyatakan bahawa liabiliti korporat kepada apa sahaja kesalahan rasuah yang dilaksanakan pekerja mereka kecuali syarikat tersebut mempunyai langkah-langkah mencukupi (adequate measures) yang dikeluarkan tatacara dan garis panduannya oleh Jabatan Perdana Menteri,” katanya, di sini, baru-baru ini.
Pada masa sama, Dzulkifli tidak menafikan wujudnya syarikat yang tidak memahami sepenuhnya pelaksanaan pengurusan anti rasuah dalam premis korporat masing-masing.
Menurutnya, buat masa ini di Malaysia pengurusan itu hanya dalam peringkat sijil.
“Kita mahu ke hadapan untuk menyediakan juga pegawai-pegawai (SPRM) yang mempunyai kelulusan.
“Alhamdulillah, profesional diploma yang ditawarkan bukan hanya universiti tempatan, malahan ditauliahkan London Examination Board, iaitu satu entiti yang dihormati dan dikenali di peringkat antarabangsa,” katanya.
Beliau berharap program itu dapat membantu menyediakan ekonomi Malaysia Madani yang bebas salah laku rasuah dan penggubahan wang haram pada masa hadapan. – JURNAL
Sumber: BERITA HARIAN