Dengan peningkatan karies (kerosakan atau keadaan busuk pada gigi) dalam kalangan anak kecil, penting untuk pengguna menilai dengan teliti bahan-bahan dalam susu formula kanak-kanak.
Susulan kisah viral adik Chempaka Aulia, yang mana 20 batang gigi susunya dicabut akibat pengambilan susu formula yang mengandungi maltodekstrin atau gula tersembunyi, ibu bapa digesa membuat pilihan lebih baik untuk anak-anak mereka.
Walaupun sesetengah formula yang dipasarkan untuk kanak-kanak berumur satu tahun ke atas mempunyai ramuan bermanfaat, kebanyakannya mengandungi maltodekstrin, iaitu sejenis karbohidrat.
Bahan ini, walaupun tidak berwarna dan tidak berbau, memberikan rasa manis yang sedikit dan dimasukkan ke dalam susu formula untuk memberikan bayi tenaga, meniru kandungan karbohidrat susu ibu.
Pun begitu, penggunaan maltodekstrin yang berlebihan, seperti mana-mana karbohidrat, boleh menyebabkan penambahan berat badan jika tidak seimbang dengan aktiviti fizikal.
Kajian terdahulu menunjukkan bahawa susu formula kanak-kanak yang mengandungi maltodekstrin dan pepejal kanji jagung menyumbang dengan ketara kepada kerosakan gigi berbanding yang mengandungi hanya laktosa.
Bukti menunjukkan bahawa gula yang bukan asli dari susu, seperti sirap glukosa dan maltodekstrin, dikaitkan dengan kadar kerosakan gigi yang lebih tinggi.
Kerosakan gigi memberikan cabaran besar kepada ramai kanak-kanak Malaysia, yang membawa kepada kesakitan akibat cabutan dan peningkatan risiko masalah pergigian yang berterusan dan kerosakan pada gigi kekal.
Punca kerosakan gigi
Gula pemakanan telah dikenal pasti sebagai penyumbang utama kepada kerosakan gigi.
Menurut Tinjauan Kesihatan Pergigian Kebangsaan, hampir 75 peratus kanak-kanak prasekolah di Malaysia mengalami gusi berdarah dan kerosakan gigi, yang menjejaskan keyakinan diri dan perkembangan mereka.
Isu maltodekstrin mendapat perhatian apabila seorang ibu berkongsi kesedihannya apabila 20 batang gigi anak perempuannya bernama Chempaka Aulia dicabut akibat sakit gigi.
Ibu anak muda tersebut meningkatkan kesedaran melalui video TikTok, menekankan kepentingan memantau pemakanan dan kesihatan pergigian kanak-kanak.
Susu tanpa maltodekstrin
Dua minggu sebelum kejadian itu, heboh apabila Ketua Pengawai Operasi Kumpulan Farm Fresh Berhad, Azmi Zainal yang dikenali sebagai Boss Susu, memuat naik kenyataan tentang maltodekstrin dan pengambilan susu pada usia muda, dan terhadap risiko maltodekstrin dalam produk susu.
Bagaimanapun, dalam usaha beliau untuk mengeluarkan susu tanpa maltodekstrin, beliau turut diserang dan dikritik oleh pesaing yang lain.
Pada masa sama, pengguna TikTok dan pakar perubatan, Dr. Wan menekankan kesan buruk pengambilan gula berlebihan, termasuk keradangan dan rintangan insulin, yang menekankan kepentingan pilihan pemakanan berhemat.
Pakar mengesyorkan memilih formula dengan campuran nutrien premium seperti Probiotik, FOS Prebiotik dan Omega 3, sambil mengelakkan bahan seperti maltodekstrin dan pepejal kanji jagung.
Memilih formula keluaran tempatan dengan pelabelan yang mudah difahami boleh menawarkan ketenangan fikiran.
Justeru, penting untuk ibu bapa peka dengan pemilihan susu formula kanak-kanak agar ia bebas dari bahan-bahan seperti maltodekstrin yang boleh mengakibatkan kesan jika diambil dalam jangka masa kerap dan panjang, sambil menyediakan nutrien-nutrien penting untuk perkembangan sihat kanak-kanak. – JURNAL
Sumber: KOSMO!