Pembebasan dua rakyat Malaysia yang ditahan di kem tahanan Teluk Guantanamo sudah sekian lama tertangguh selepas dipenjarakan selama 21 tahun berhubung kejadian pengeboman Bali pada 2002 yang meragut 202 nyawa.
Bagaimanapun, peluang bagi mendapatkan tarikh kepulangan awal kini bergantung kepada komunikasi diplomatik antara Malaysia dan Amerika Syarikat (AS).
Kedua-dua rakyat Malaysia iaitu Mohamad Farik Amin, 48, dan Mohammed Nazir Bin Lep, 47, telah ditahan di Thailand pada tahun 2003 tetapi tidak pernah menjalani perbicaraan sehingga 2024.
Pada penghujung Jan 2024 di bawah “plea bargain” atau tawaran terhadap pengakuan bersalah, kedua-duanya mencapai persetujuan dengan pendakwa raya di Teluk Guantanamo atas tuduhan menjadi “aksesori” kepada serangan pengganas di Bali dan hakim tentera AS Lt. Kol. Wesley A. Braun menjatuhkan hukuman penjara lima tahun ke atas mereka selepas perbicaraan singkat.
Selain itu, di bawah rundingan terbabit, kedua-dua mereka perlu memberi keterangan terhadap Encep Nurjaman yang juga dikenali sebagai Hambali dari Indonesia, bekas ketua gerakan Jemaah Islamiyah – sekutu Al-Qaeda – dan dalang pengeboman Bali.
Bernama memperoleh maklum balas eksklusif menerusi e-mel daripada seorang daripada peguam bela utama Christine Funk yang berkongsi pandangan mengenai kes itu serta menceritakan pengalaman pahit yang telah dilalui anak guamnya.
Funk mewakili Mohamad Farik yang juga dikenali sebagai “banduan no 21” di kem tahanan yang terletak di Pangkalan Tentera Laut Teluk Guantanamo di tenggara Cuba.
Ketika ditanya mengenai kemungkinan Mohamad Farik pulang ke tanah air, beliau menyatakan bahawa anak guamnya menyedari komunikasi berterusan antara pasukan guamannya dan kerajaan Malaysia berhubung potensi penghantaran pulang awal.
Beliau berkata Mohamad Farik tidak sabar untuk menamatkan babak kehidupan yang mencabar ini secepat mungkin.
Funk juga berharap untuk melihat pengakhiran pengalaman pahit dan trauma yang dialami anak guamnya sejak ditahan.
Selepas ditahan, dia terpaksa melalui pelbagai penyeksaan, termasuk dipukul, ditahan tanpa dibenar melakukan sebarang komunikasi dengan keluarganya atau
kerajaan Malaysia selama bertahun-tahun.
Mohamad Farik dibawa ke lokasi rahsia CIA, tempat dia telah menerima layanan kejam yang menggunakan teknik soal siasat yang amat keras dan kasar.
Menurut Funk pelbagai penderitaan dan keadaan mengerikan yang terpaksa dilalui anak guamnya, dengan menyatakan bahawa anak guamnya menjadi mangsa tindakan yang telah dikutuk oleh komuniti undang-undang antarabangsa sebagai kejam, menjatuhkan maruah dan tidak berperikemanusiaan.
Beliau berkata Mohamad Farik mengharungi keadaan yang amat teruk seperti dipaksa bersandar pada dinding dengan hanya dahi menyentuh dinding untuk tempoh yang lama atau mencangkung dengan batang penyapu di belakang lututnya.
“Didedahkan kepada cahaya terang dan bunyi secara beterusan untuk mewujudkan persekitaran tidak selesa dan digari, tangan dirantai di atas kepala menyebabkan dia tidak boleh berdiri tegak dan terpaksa membongkok.
“Ditinggalkan bersendirian, tanpa kemudahan tandas, dibiarkan dalam kegelapan selama berhari-hari,” kata Funk.
Banyak lagi layanan tidak berperikemanusiaan terpaksa dilalui Mohamad Farik, termasuk dibogelkan untuk tempoh yang lama dan adakala langsung tidak dibenarkan mandi atau memberus gigi.
“Kadangkala dia diletakkan di atas tarp sebelum disiram dengan air sejuk pada badan dan hidung serta mulutnya menyebabkan dia hampir lemas – satu perbuatan yang digelar waterboarding.
Selama beberapa tahun kebelakangan ini, Mohamad Farik juga tidak diberikan hak komunikasi yang sepatutnya. Sekarang hanya dibenarkan membuat empat
panggilan telefon dalam setahun untuk menghubungi keluarganya dan setiap panggilan hanya diberikan selama 30 minit.
Kedua-dua tahanan Malaysia masih ditahan berasingan daripada banduan lain sejak mereka mula menjalani hukuman. Apabila kembali kelak, mereka mungkin perlu menjalani rehabilitasi seperti yang dilaporkan oleh beberapa media AS.
Bernama turut menghubungi peguam Mohammed Nazir, Brian Bouffard, namun belum menerima sebarang maklum balas mengenai anak guamnya di Guantanamo Bay. – JURNAL
Penafian: Pandangan yang dinyatakan dalam ulasan sebelum ini adalah semata-mata pandangan individu yang memberikan maklumat bekenaan. Pendapat dan
kenyataan itu tidak mewakili pandangan atau pendirian rasmi Department of Defense atau Amerika Syarikat. Sebarang penerbitan ulasan ini mesti menyertakan
penafian ini untuk menjelaskan bahawa pandangan yang dinyatakan adalah peribadi dan tidak mencerminkan kedudukan rasmi entiti kerajaan yang disebutkan.
Sumber: BERNAMA