Memendekkan tempoh proses pengadilan digariskan sebagai satu daripada tiga fokus utama Kementerian Sumber Manusia (KSM) yang disasarkan untuk institusi Mahkamah Perusahaan Malaysia (MPM), tahun ini.
Menteri Sumber Manusia, Steven Sim, berkata dua lagi fokus berkenaan ialah mengurangkan kes tertunggak dan menambah baik fasiliti serta kemudahan mahkamah terbabit.
“Bagi memperkasakan institusi MPM, pihak mahkamah dengan kerjasama Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU), Jabatan Perdana Menteri (JPM), akan menganjurkan Kolokium Reformasi Perundangan dan Pengurusan MPM di Putrajaya pada 28 dan 29 Februari ini.
“Antara pembentang kertas dijemput ke kolokium itu ialah pakar daripada BHEUU, selain pihak majikan, kesatuan sekerja serta wakil sektor awam dan industri.
“Laporan kolokium itu akan dijadikan panduan untuk pembaharuan dan penambahbaikan MPM nanti,” katanya ketika berucap pada Majlis Penyerahan Watikah Pelantikan Pengerusi MPM 2024 di Wisma PERKESO, di sini, hari ini.
Pada majlis itu, Sim menyampaikan watikah pelantikan Pengerusi baharu MPM berkuat kuasa selama empat tahun kepada lima hakim, iaitu H S Amrik Singh, M Eswary, A Augustine, D Paramalingam dan Syed Noh Said Nazir @ Syed Nadzir.
Yang turut hadir ialah Ketua Setiausaha KSM, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud, dan Yang Dipertua MPM, Hakim Datuk Wan Jeffry Kasim.
Sementara itu, Wan Jeffry berkata, pihaknya menyenaraikan permohonan baharu bawah Projek Rolling Plan 5 (RP5) 2025 Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12).
“Ia untuk menaik taraf Sistem Perekodan Digital (SPD) v4.0 di MPM (RM4,997,500) dan pembangunan sistem e-Mahkamah Perusahaan (eMP) v2.0 di MPM (RM4,999,000).
“Saya yakin kita semua akan dapat membina sebuah pasukan mantap serta kukuh bawah pimpinan Menteri Sumber Manusia, dan seterusnya mencapai sasaran ditetapkan bagi 2024,” katanya. – JURNAL
Sumber: BERITA HARIAN