Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) menyasarkan 50,000 murid sekolah agama kendalian kerajaan negeri khatam al-Quran seawal usia lima dan enam tahun.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Johor, Mohd Fared Mohd Khalid berkata, kanak-kanak yang berusia seawal lima dan enam tahun berjaya khatam 30 juzuk al-Quran membuktikan keberkesanan modul digunakan Tadika Agama Johor (TAJ).
Katanya, pelajar TAJ mula belajar al-Quran seawal usia empat tahun.
“Bagi mencapai hasrat itu, Kerajaan Johor berhasrat untuk menambah jumlah Program prasekolah TAJ di setiap daerah negeri ini.
“Langkah ini sekali gus dapat menampung permintaan yang tinggi dalam kalangan ibu bapa yang mahu menghantar anak-anak mereka bagi mendapat pendidikan awal agama Islam.
“Kita berhasrat untuk menambah bilangan TAJ dengan sekurang-kurangnya dua tadika di setiap daerah. Jika sesebuah daerah mempunyai permintaan yang tinggi seperti di Johor Bahru, kita akan pertimbangkan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika Majlis Khatam al-Quran TAJ ke-13 di Stadium Arena Kompleks Sukan Educity, di sini hari ini.
Pada program itu, seramai 745 murid TAJ dari 10 daerah negeri ini yang berusia lima dan enam tahun berjaya khatam 30 juzuk al-Quran.
TAJ adalah program pendidikan yang memberi fokus kepada perkembangan murid secara menyeluruh serta seimbang diwujudkan sebagai salah satu langkah persediaan diri bagi murid untuk menghadapi alam persekolahan.
TAJ mula diasaskan pada 2001 dan beroperasi di beberapa buah sekolah Agama Kerajaan Johor (SAKJ) yang terpilih.
Dalam pada itu, Mohd Fared berkata, sehingga kini, dianggarkan sebanyak 201 TAJ beroperasi di seluruh negeri ini.
“Ada sekolah yang mendapat kekangan untuk menyediakan program prasekolah ini kerana bangunan sekolah itu digunakan sepenuhnya.
“Dengan penambahan program tersebut, kita perlu mengambil kira untuk menambah bilangan tenaga pengajar dan pembantu,” katanya. – JURNAL
Sumber: HARIAN METRO