Kajian Separuh Penggal (KSP) Kertas Putih Pertahanan (KPP) akan memberi fokus kepada lima strategi khusus bagi meningkatkan pertahanan negara bukan sahaja dari segi fizikal malah sebagai persediaan menghadapi ancaman teknologi digital.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, kajian itu akan mengenal pasti secara terperinci keberkesanan mahupun kelemahan bagi memastikan segala aspirasi tercapai.
Menurutnya, KSP itu akan menjadi asas untuk Kementerian Pertahanan dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berunding dengan Kerajaan Persekutuan agar keperluan mereka dapat dipertimbangkan dalam Rancangan Malaysia Ke-13 bermula tahun hadapan.
“Sepanjang kita laksanakan kajian separuh penggal ini, terdapat lima pertimbangan strategik yang perlu diberi fokus antaranya Kesiapsiagaan Angkatan Masa Hadapan,” katanya dalam sidang akhbar selepas melancarkan Kajian Separuh Penggal Kertas Putih Pertahanan di Kementerian Pertahanan kelmarin.
Menurutnya, sehubungan itu Kementerian Pertahanan akan merekrut anggota tentera yang berkebolehan dalam bidang pengkomputeran termasuk teknologi Kecerdasan Buatan (AI) terutama mereka yang mahir dalam penggodaman siber.
Mohamed Khaled berkata, banyak penganalisis meramalkan pertempuran kuasa akan lebih melibatkan kecanggihan teknologi seperti dron dan aset yang dikawal secara digital.
“Hari ini kita dapat melihat penggunaan secara meluas teknologi maklumat (IT) dan menjadi trend yang dilaksana tentera di seluruh dunia, maka kita juga tidak boleh ketinggalan.
“Ia akan mula menjadi norma untuk pasukan-pasukan angkatan tentera melakukan proses merekrut yang menyasarkan golongan seperti penggodam sebagai sebahagian anggota pertahanan negara,” jelasnya.
Perkara kedua pula katanya, terdapat sekurang-kurangnya lima fungsi gabungan teknologi AI dan Big Data untuk membantu Kementerian Pertahanan dan ATM iaitu Threats Monitoring, Trend Analysis, Performance Tracking, Transformation driver dan Touch point platform.
Katanya, KSP turut memberi perhatian kepada pembangunan dan perkembangan industri pertahanan.
“Kita akui salah satu komitmen kita di bawah KPP adalah penghasilan dasar industri pertahanan dan keselamatan negara dan untuk itu saya menyarankan agar pengemasan perkara ini dilakukan,” ujarnya.
Mohamed Khaled berkata, perkara keempat pula turut melibatkan pemerkasaan anggota simpanan dalam ekosistem pertahanan Malaysia.
Katanya, Kementerian Pertahanan perlu meletakkan secara jelas sasaran untuk merekrut, melatih dan mempunyai sejumlah anggota simpanan yang optimum pada satu-satu masa serta melihat secara menyeluruh kepentingan anggota.
Selain itu katanya, diplomasi pertahanan juga perlu diperkukuhkan lagi dan KSP kali ini perlu meletakkan Malaysia sebagai sebuah negara maritim yang mempunyai kuasa lunak pertahanan yang menyerlah dan berkesan.
“Pada tahun hadapan, Malaysia akan mempengerusikan ASEAN dan lazimnya pertahanan adalah segmen yang sentiasa menjadi perhatian, jadi kita harap diplomasi pertahanan kita menyerlah dan berkesan,” ujarnya.
Pada majlis pelancaran itu juga Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Seri Isham Ishak membincangkan pelbagai isu berkaitan pertahanan negara.
Dalam pada itu, Mohamed Khaled berkata, KPP diluluskan di Parlimen pada tahun 2019 dan dilaksanakan mengikut perancangan sejak tahun 2020 sehingga kini di bawah Rancangan Malaysia Ke-12.
Katanya, pada masa ini KSP KPP akan mengumpulkan pandangan semua pihak berkepentingan melalui pelbagai kaedah libat urus seperti mesyuarat, persidangan, bengkel dan soal selidik secara atas talian.
“Rakyat juga boleh mengambil bahagian dengan memberikan pandangan dan cadangan melalui portal KSP KPP menerusi kspkpp.mod.gov.my.” ujarnya.
Turut diadakan sesi wacana Kajian Separuh Penggal Kertas Putih Pertahanan yang dikendalikan oleh Penolong Pengarah Keselamatan Maritim Institut Pertahanan dan Keselamatan Malaysia, Nor Aini Mohd. Nordin bersama ahli panel lain iaitu Ketua Pusat Pengajian Asia, Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof. Dr Kuik Cheng-Chwee; Pensyarah Universiti Pertahanan Nasional Malaysia, Profesor Dr. Adam Leong Kok Wey, Shahriman Lockman dari Institute of Strategic and International Studies dan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Malaysian Industry-Government Group for High Technology, Rushdi Abdul Rahim. – JURNAL
Sumber: UTUSAN