Pengalaman berdepan situasi pandemik COVID-19 ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini membuatkan ramai dalam kalangan masyarakat tidak dapat keluar bekerja.
Bagaimanapun, persepsi itu diambil secara positif oleh Muhammad Yusri Ahmad Jalaluddin apabila mengubah kehidupan seharian dengan menceburi bidang pekerjaan baharu.
Menurutnya, dia mencuba bisnes perkhidmatan menyelenggara penghawa dingin secara sambilan pada masa itu sehingga kini berbangga mempunyai syarikat sendiri, RY2 Airconditioner Empire.
“Bisnes ini bermula semasa PKP. Bidang penghawa dingin bukan kepakaran saya sebab sebelum ini saya bekerja sebagai operator kren. Bila PKP, tercetus idea untuk buat bisnes dari rumah iaitu menyelenggara penghawa dingin.
“Saya fikir bisnes ini menarik dan kemudian mengajak kawan untuk membuat bisnes ini bersama. Kami mula menyewa rumah dijadikan pejabat pada harga RM700 sebulan dan kemudian berlaku banjir besar yang menyebabkan segala barang peralatan penghawa dingin rosak,” katanya.
Tambahnya, dia mengakui berasa kecewa akibat ditimpa bencana tersebut tetapi tidak putus asa untuk bangkit semula.
“Kami tukar pelan mencari kedai lain pada harga sewa RM1,500 sebulan dan selepas itu pemilik menaikkan sewa kepada RM2,500 sebulan. Bagi bisnes baharu, saya fikir kadar sewa tersebut agak tinggi sehingga saya berpindah ke kedai dua tingkat di R&R Bukit Dukung, Kajang.
“Selalu orang ingat kawasan R&R ialah tempat makan tetapi kedai saya merupakan satu-satunya bisnes perkhidmatan penghawa dingin yang pertama beroperasi di R&R,” katanya.
Ujarnya, dia bersyukur bisnes yang diusahakan sejak 3 tahun lalu ini berjaya dan kini mempunyai 11 kakitangan.
“Pada mula saya belajar menyelenggara penghawa dingin rumah sendiri. Ketika PKP nak panggil orang lain datang selenggara pun tak boleh jadi dengan pengalaman saya belajar dalam bidang automotif, saya turut belajar dari YouTube mengenai penyelenggaraan penghawa dingin.
“Daripada secara sambilan, saya kini mengusahakan bisnes ini secara sepenuh masa. Memang bidang kerja saya bertukar sebanyak 360 darjah tetapi saya fokus mencari ilmu dan banyak bertanya pada orang lain,” katanya.
Akuinya, perjalanan bisnesnya kini lebih berstruktur dan tersusun serta mempunyai penasihat yang menyokong operasi syarikatnya.
“Saya pernah sertai program bersama Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) pada tahun 2022 dan menjadi peserta terbaik. Sehingga saya turut serta dalam program KRU MasterClass Social Commerce Micro Connector 2.0, saya banyak belajar aspek penerbitan video, suntingan dan pemasaran.
“Sebagai usahawan, saya cuma berkongsi nasihat agar jika memulakan sesuatu bidang kerja, kena teruskan sehingga memperolehi kejayaan. Jangan putus asa dan mencuba bidang lain sebaliknya terus fokus pada satu bidang dan buat sampai jadi. Ingat, setiap masalah ada jalan penyelesaian,” katanya.
Saksikan temu bual bersama Yusri menerusi program bual bicara terbaharu, Sembang Protege x KRU dalam Episod 2 – ‘Bila Nak Cukup Duit?’ menerusi platform laman sosial PROTÉGÉ di YouTube, Facebook dan Instagram. – JURNAL