Tujuh anggota pasukan elit Polis Diraja Malaysia (PDRM), VAT 69 Komando lakar nama dalam Malaysia Book of Records (MBOR) selepas melakukan aksi terjunan payung bebas tertinggi.
Aksi terjunan itu dilakukan sempena upacara perasmian Anak Sarawak International Half Marathon 2024 (ASIHM24) di ibu negara, di sini 3 Februari lalu.
PDRM dalam satu hantaran di Facebook berkata, anggota terbabit ialah Inspektor Khairil Azhar Kamaruddin, Sarjan Mejar Ahmad Basri Salleh, Sarjan Shamshur Sador, Sarjan Zainal Abiddin Zakaria, Sarjan Nor Saiful Izwan Mohd Noor, Sarjan Shahril Afiza Zahari dan Sarjan Mohd Hazlan Zakaria.
“Semua penerjun melakukan terjunan tertinggi di waktu malam dengan menaiki pesawat Agusta Westland 139 milik Pasukan Gerakan Udara (PGU).
“Sijil anugerah MBOR bagi rekod ‘Terjunan Udara Altitud Tertinggi Bagi Pelancaran Acara’ disampaikan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Daya Guna Awam, Datuk Seri Fadillah Yusof,” katanya hari ini.
Menurutnya, sijil berkenaan disampaikan kepada Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah Dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Bukit Aman, Datuk Wan Hassan Wan Ahmad sebagai wakil pucuk pimpinan pasukan.
“Bagi pihak seluruh warga pasukan, kami mengucapkan setinggi-tinggi syabas dan tahniah kepada 69 Komando atas pencapaian cemerlang dalam lipatan sejarah pasukan dan negara. Warisan Darah Perwira!,” katanya. – JURNAL
Sumber: HARIAN METRO