Bekas pengendali Kedah, Allahyarham Azraai Khor menyampaikan hasrat untuk mewujudkan satu program realiti bolasepak berteraskan Islam untuk disiarkan di televisyen.
Pengulas sukan tersohor, Datuk Jasni Shafie berkata, perkara tersebut diluahkan kepada beliau oleh Allahyarham yang bersemangat melahirkan pemain bola sepak bukan sahaja hebat di padang tapi juga mempunya ilmu rohani dan agama kukuh.
Menurutnya, idea itu timbul selepas legenda jurulatih juara berganda Hijau Kuning itu selesai mengendalikan program realiti The Next Super Mokh (TNSM) di bawah terbitan syarikatnya.
“Saya sebagai pengarah program TNSM lantik Azraai sebagai ketua jurulatih, Ahmad Sobri Ismail dan Raja Shahrul sebagai penolong jurulatih manakala Pengarah teknikal adalah Fuad Mienso.
“Selepas selesai pengambaran program ini di empat zon Malaysia termasuk Thailand tahun lalu, Allahyarham cerita mahu mencari bakat di kalangan pelajar tahfiz dan pendekatan sama digunakan seperti program TNSM.
“Saya setuju dengan cadangan tersebut untuk mencari bakat di peringkat akar umbi dengan menggunakan barisan jurulatih sama dan akan berbincang selepas saya pulang dari menunaikan umrah, namun tidak sangka bila menerima berita pemergiaan beliau pada Khamis lalu,” katanya semasa dihubungi Sinar Harian di Madinah pada Isnin.
Wartawan penyiaran berpengalaman itu berkata, allahyarham mengajaknya turun ke program pertama pemilihan pemain di bawah Murtadha Dakwah Center (Madad) di Sungai Petani pada Januari lalu namun beliau mempunyai urusan di Istanbul, Turkiye.
Menurutnya, pada program pemilihannya seterusnya pada Sabtu lalu juga tidak dapat disertainya kerana sedang berada di Mekah menunaikan umrah.
“Arwah sangat teruja dan bersemangat untuk lahirkan pemain bolasepak yang kemudiannya mempunyai ilmu agama termasuk menjadi tahfiz.
“Dalam perbualan telefon itu, dia minta pandangan macam mana nak promosi program Madad sebagaimana program TNSM yang bakal disiarkan di RTM tahun ini, saya cadangkan saluran paling sesuai adalah TV AlHijrah,” ujar beliau.
Tambahnya, bekas jurulatih itu sangat teruja dan berharap dapat mengadakan perbincangan dengan beliau selepas pulang dari Mekah untuk mencari penaja dan sumber kewangan bagi tujuan promosi di platform televisyen.
“Arwah juga seorang sangat mesra dengan media terutama wartawan sukan. hampir 30 tahun mengenali dan mewancaranya, arwah adalah seorang sentiasa melayan media dengan tertib dan professional tak kira ketika pasukannya kalah atau menang.
“Saya rasa kehilangan besar dalam arena sukan bolasepak dan mewakili rakan-rakan media, saya ucapkan takziah kepada keluarga arwah dan terima kasih kerana meminjamkan seorang bekas pemain dan jurulatih kepada peminat-peminat sukan di kedah dan seluruh negara,” kata beliau lagi. – JURNAL
Sumber: SINAR HARIAN